HPP turut dilanda banjir kilat

in Semasa by


GEORGETOWN – Sebahagian kawasan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat dan angin kuat sejak semalam.


Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr M. Sukumar berkata, seramai 104 pesakit dan bayi baru lahir dipindahkan ke wad yang lebih selamat dan kesemua  pesakit mendapat rawatan yang sewajarnya serta tiada kejadian tidak diingini berlaku.


“Antara kawasan yang terlibat termasuk Unit Pengangkutan, tingkat bawah Blok C dan D. Ini termasuk empat wad pesakit dan wad rawatan rapi neonatal. Arahan pengungsian telah dikeluarkan dan ia dilaksanakan sekitar 2.30 pagi hingga 5.30 pagi. Kenderaan juga telah dipindahkan ke kawasan selamat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.


Beliau berkata perkhidmatan perawatan pesakit luar dan pesakit dalam termasuk perkhidmatan ambulans di HPP masih diteruskan seperti biasa.


Sukumar turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat berkaitan kejadian banjir kilat di HPP sehingga mencetuskan suasana panik kepada waris pesakit.


Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir kilat setinggi 0.2 meter hingga 1 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat sejak 2 petang semalam dan hujan berlarutan hingga 5 pagi ini.


Semua daerah telah ditelenggelami air berikutan hujan lebat berterusan serta paras air sungai yang tinggi bertembung dengan kejadian air pasang di laut menyebabkan limpahan air berlaku dengan cepat. – Bernama

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]