Jalan raya bertukar lautan coklat sekelip mata

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – “Hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja jalan raya yang sesak dengan kenderaan berubah menjadi lautan air berwarna coklat,” kata seorang mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat di Sungai Petani malam tadi.


Mashitah Abu Bakar, 58, berkata ketika itu beliau bersama suaminya Ibrahim Ahmad, 63, serta seorang lagi rakan dalam perjalanan pulang dengan kereta menuju Kota Sarang Semut apabila terkandas dari Bedong hingga Gurun.


“Kami bergerak untuk balik pada pukul 6 petang dengan dan aliran jalan raya ketika itu menjadi sedikit sesak. Kami jangkakan berlaku kemalangan. Dalam beberapa minit kemudian, kenderaan mula bergerak secara perlahan.


“Namun kami meneruskan perjalanan dan kira-kira dua kilometer di hadapan, baru kami terlihat air mula melimpah ke atas jalan dan dalam sekelip mata sahaja air naik begitu cepat dan memasuki kereta​​ kami​ hingga mencecah paras buku lali,” katanya kepada Bernama.


Beliau berkata mereka tetap meneruskan perjalanan selepas melihat beberapa kenderaan lain turut meredah air, namun paras air yang naik dengan cepat menyebabkan arus air menjadi deras hingga menyebabkan kereta kami mula bergoyang.


Mashitah berkata selepas melihat paras air naik dengan cepat, terdapat pemandu dan penumpang lain yang mula keluar dari kenderaan masing-masing dan mencari kawasan lebih tinggi.


“Semasa masih di dalam kereta, seorang wanita datang dan mengetuk tingkap kereta memintar agar kami keluar kerana air semakin naik. Kami lalu keluar dari kereta dan berjalan ke rumah penduduk di situ yang air di kawasan  sekitar sudah mencecah paras pinggang,” katanya.


Beliau  bersyukur apabila sejam kemudian adiknya yang tinggal di Alor Setar datang mengambilnya dan rakannya dengan  kenderaan pacuan empat roda manakala suaminya menunggu kren bagi mengalihkan kereta mereka yang dimasuki  air.


Beliau turut terkilan kerana tiada pihak yang memberi amaran awal banjir kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan itu. – Bernama

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]