Jangan kelam kabut, P Pinang tetap dapat bekalan air

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diminta agar tidak ‘kelam kabut’ dalam isu membabitkan empangan Muda di Ulu Muda yang didakwa semakin mengecil akibat aktiviti penebangan hutan.


Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Othman Aziz berkata walaupun aktiviti tersebut sedikit sebanyak memberi kesan terhadap bekalan air, namun buat masa ini tidaklah sampai ke peringkat Pulau Pinang akan terputus bekalan air mentah.


“Sebagai badan yang mengawal selia empangan-empangan utama di Kedah, MADA masih mampu mengurus perkara tersebut.


“Empangan Muda dan Pedu ini ialah air yang ditakung untuk pengairan bendang kita, cuma lebihannya masuk ke Sungai Muda dan dihantar ke selatan Kedah dan Pulau Pinang,” kata Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan kepada pemberita selepas taklimat pasca Bajet 2018 di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa mengenai empangan yang menyalurkan air ke tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu kini semakin mengecil sebanyak 87.3 peratus.


Terdahulu Othman menyampaikan taklimat pasca Bajet 2018 kepada 495 ketua unit peladang di bawah 27 Pejabat Peladang Kawasan MADA yang memfokuskan mengenai peruntukan dalam sektor pertanian dan industri asas tani. – Bernama


 


 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]