Kerajaan negeri bersedia hadapi Monsun Timur Laut

in Edisi by


SEGAMAT – Kerajaan negeri sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada peghujung November ini sehingga bulan April tahun hadapan yang membawa taburan hujan yang banyak sehingga menyebabkan bencana banjir.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, keadaan ini merupakan fenomena biasa yang berlaku setiap tahun dan akan menyebabkan purata hujan yang turun bertambah berbanding bulan-bulan sebelumnya.


“Di negeri Johor kita sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan musim tengkujuh serta banjir dan ada beberapa daerah seperti di Segamat yang Rancangan Tebatan Banjirnya (RTB) sudah siap dan akan mengurangkan lagi risiko akibat banjir.


“Bagaimanapun, saya ingin menasihatkan mereka yang seringkali berisiko menghadapi banjir terutamanya di kawasan rendah supaya sentiasa bersiap sedia dan mengawasi pergerakan anak-anak kecil kerana kita tidak mahu sebarang kehilangan nyawa akibat bencana ini,” katanya.


Beliau yang juga Adun Kemelah ditemui selepas merasmikan Program Kasihi Pekebun Kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Kampung Melayu Raya, di sini, hari ini.


Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Risda Negeri Johor, Ahmad Fahmi Shukor; Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa dan Ketua Kampung Pogoh 4, Idris Yunos.


Menurutnya, fenomena Monsun Barat Daya yang telah bermula bulan Mei lalu juga dijangka akan berakhir September ini sebelum memasuki tempoh peralihan monsun pada penghujug bulan September hingga Oktober yang mengakibatkan kelembapan.


“Sepanjang tempoh peralihan monsun ini, ia akan menyebabkan kekerapan berlaku ribut petir pada petang dan senja sebelum luruhan Monsun Timur Laut pada November hingga April tahun hadapan yang membawa hujan lebat empat hingga lima kali sehari.


“Persediaan daripada setiap aspek juga akan dibuat bermula dari segi pemantauan hujan dan kenaikan paras air sungai dan laut, sehingga kepada persediaan dalam menangani waktu kecemasan, pemindahan penduduk, aspek kesihatan dan bekalan barangan keperluan,” katanya.


Menurutnya, persiapan awal di setiap daerah juga telah dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir melibatkan semua jabatan kerajaan dan selain diberikan peranan khusus untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka akan berlaku pada hujung tahun ini.


Katanya, melalui mesyuarat tersebut, pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk mengemaskini senarai keahlian jawatankuasa yang terlibat termasuk pengerusi zon banjir mengikut setiap Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) di daerah ini.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]