'Mangilangi Kulaan' satukan Banjar Perak

in Edisi by


BAGAN SERAI – Inisiatif Kelab Kulaan Malaysia (KKM) menganjurkan program ‘Mangilangi Kulaan’ merentasi tiga Parlimen menyatukan lebih 500 komuniti masyarakat Banjar di seluruh Perak.


Pengerusinya, Ir Kamarulaffie Ahmad berkata, program berlangsung 4 dan 5 November lalu disertai oleh 50 ahli KKM yang menyertai konvoi menziarahi saudara-mara berketurunan Banjar di seluruh negeri Perak meliputi Parlimen Bukit Gantang, Parit, dan Pasir Salak.


Menurutnya, objektif penganjuran program ‘Mangilangi Kulaan’ atau ‘menziarahi saudara’ bertujuan meluaskan jaringan perhubungan antara komuniti masyarakat Banjar yang sebenarnya agak luas di Perak.


“Meskipun daerah Kerian amat dikenali dengan majoriti populasi lebih 80 peratus penduduk berketurunan Banjar, namun kita dimakluman masih terdapat ramai rakyat Perak berketurunan Banjar yang tinggal di banyak kawasan di negeri ini.


“Malah terdapat sebuah kampung diberikan nama Kampung Banjar di Changkat Jering, sekaligus membuktikan populasi masyarakat Banjar diiktiraf kerajaan negeri.


“Kami turut berharap program jelajah dianjurkan dapat menambahkan bilangan ahli ‘kulaan’ Banjar di seluruh Perak dan seluruh negara suatu hari nanti,”katanya pada majlis perasmian program konvoi ‘Mangilangi Kulaan’ di sini hari ini.


Majlis dirasmikan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.


Ir Kamarullafie berkata, konvoi bermula jam 9 pagi di dataran Pusat Bandar Bagan Serai melalui empat persinggahan,bermula Kampung Padang Besar,Kampung Banjar, Changkat Jering, Kampung Titi Gantung, Bota dan akhir sekali di Sungai Manik, Teluk Intan.


Menurutnya, pelbagai aktiviti kekeluargaan yang dianjurkan sepanjang program dua hari itu termasuk program suai kenal dan sukaneka.


“Melalui program ini, KKM berharap dapat menambah keahlian yang kini mencecah 1,000 orang.


“KKM turut merancang meluaskan program jelajah menziarahi ‘kulaan’ ke seluruh negara bagi meluaskan jaringan perhubungan masyarakat Banjar di seluruh negara,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]