Mangsa banjir perlu patuhi arahan pihak berkuasa

in Nasional by


BUTTERWORTH – Semua mangsa banjir perlu mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa demi keselamatan dan kebaikan diri serta keluarga.


Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata demikian ketika mengulas mengenai situasi banjir yang sedang berlaku di Pulau Pinang ketika ini.


“Saya berdoa agar ALLAH memberikan warga Pulau Pinang kesabaran dan kekuatan pada ketika banjir melanda Pulau Pinang.


“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua anggota PKR dan Pakatan Harapan (Harapan), JKKK dan para sukarelawan yang telah bertungkus-lumus membantu sejak tengah malam tadi hingga sekarang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau dalam masa sama turut menggesa semua anggota dan jentera PKR serta Harapan dari negeri-negeri lain untuk turun membantu warga Pulau Pinang mengatasi masalah banjir, terutama dalam proses pemindahan penduduk serta pembersihan yang akan dilakukan kelak.


“Saya berharap dengan segala usaha kita bersama, serta kerjasama dari semua pihak, masalah banjir ini akan dapat kita atasi bersama dan usaha yang menyeluruh dapat dibuat untuk memastikan kejadian banjir sebegini dapat dikurangkan di masa hadapan,” katanya lagi.


Dalam masa sama, Amanah mengaktifkan serta-merta misi bantuan ke atas mangsa banjir di Pulau Pinang.


Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah mengarahkan semua ahli dan penyokong Amanah, khususnya pasukan sukarelawan ARiF menggerakkan pasukan bantuan semaksimum mungkin pada kadar segera dengan bekerjasama penuh dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.


“Banjir kilat yang melanda Pulau Pinang dan beberapa kawasan Selatan Kedah menuntut semua pihak saling bekerjasama menghulur bantuan kepada mangsa yang terjejas dan sangat memerlukan ketika ini.


“Sehubungan itu, saya telah menghubungi Amanah Pulau Pinang dan Biro Kebajikan, Kemanusiaan dan Bencana Alam Nasional bagi menyelaraskan gerak kerja misi bantuan ini,” katanya lagi.


Sehingga kini, Amanah telah membuka Bilik Gerakan Banjir di Dewan JKKK Sungai Dua dan Pusat Khidmat KADUN Permatang Pasir serta bantuan kepada mangsa banjir sedang giat dijalankan oleh petugas Amanah.


“Saya mendoakan agar mangsa-mangsa yang terlibat tabah menghadapi ujian ini dan kerja-kerja bantuan dapat dijalankan dengan baik,” katanya lagi.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]