Penantian miliki rumah berakhir

in Edisi by


KUANTAN  –  Selepas 11 tahun menunggu permohonan mendapatkan rumah Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan, akhirnya 56  penerima baru berjaya memiliki rumah sewa beli itu.


Bagi penerima, Ros Johan yusoff, 44, dia memohon rumah berkenaan pada tahun 2006 memandangkan dia tidak mempunyai rumah dan hanya menumpang di rumah arwah ibu di Batu Lima.


Menurutnya, dia yang bekerja sebagai tukang cuci amat memerlukan rumah berkenaan kerana konsep sewa beli yang ditawarkan.


“Pada bulan lalu, saya mendapat surat tawaran  untuk menduduki rumah ini dan ia adalah berita gembira buat kami sekeluarga yang sudah lama menunggu.


“Saya dan suami, Mamat Kadir, 52, serta tiga anak yang lain bersyukur dengan tawaran ini kerana kadar sewa RM228 adalah di dalam kemampuan kami berbanding menyewa rumah lain,”katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk dan Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Awan Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan, semalam.


Hadir menyampaikan, Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar.


Kegembiraan turut dirasai oleh Laden Omar, 38, yang berjaya mendapat tawaran rumah berkenaan selepas tujuh tahun memohon.


Katanya, buat masa ini dia dan isteri, Yusalwati Mohd Yusof, 38, sekeluarga menumpang di rumah saudara.

Laden


“Saya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak seberapa, jadi dengan tawaran rumah ini, saya amat bersyukur kerana kami akan dapat duduk di rumah ini tidak lama lagi,”kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.


Sementara itu, Mohd Zaili berkata, pemilihan penerima rumah berkenaan adalah berdasarkan kelayakan mereka seperti pendapatan isi rumah dan sebagainya.


Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa banyak permohonan diterima namun hanya yang layak berjaya selain tawaran dilakukan secara berperingkat.


“Saya amat berharap penerima rumah ini dapat membayar sewa bulanan mengikut masa dan tidak mengambil kesempatan dengan menyewa rumah ini kepada pihak lain.


“Saya juga mahu pihak bertanggungjawab memastikan rumah-rumah di sini diduduki pihak yang betul seperti di dalam surat tawaran kerana saya mendapat maklumat ada yang tidak tinggal di sini malah tidak membayar sewa bulanan yang ditetapkan,”katanya.


Mohd Zaili berkata, selain isu tersebut, dia amat berharap penduduk bekerjasama dalam memastikan keselamatan dan kebersihan kawasan terjamin.


“Saya juga akan meneliti cadangan penduduk hasil dialog yang diadakan pada program ini,”katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]