Umno tawar tuisyen percuma kepada 35,000 pelajar

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Seramai 35,000 pelajar terpilih terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat manfaat daripada program Tuisyen HELP yang digerakkan oleh Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (Help) Pemuda Umno.


Program yang diadakan secara percuma khusus kepada golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar sejak 2014 itu adalah program yang berterusan yang memberi fokus kepada penguasaan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah di peringkat SPM.


Pengerusi Biro HELP, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Pemuda Umno sentiasa komited dalam usaha membantu apa cara sekali pun bagi meningkatkan pendidikan anak bangsa.


“Dengan ilmu pendidikan yang sempurna akan melahirkan pelajar seimbang berdasarkan falsafah pendidikan negara, sekali gus mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan,” katanya.


Melalui Program Tuisyen HELP Tuisyen ini katanya, dapat memberi sumbangan serta peluang terbaik kepada keluarga dan pelajar yang bakal terlibat memandangkan pendidikan merupakan satu perkara yang cukup penting dalam membina masa hadapan.


“Program Tuisyen HELP menitikberatkan proses penyampaian yang lebih berkesan kepada pelajar-pelajar melalui pemilihan guru-guru pakar dalam lima mata pelajaran dan bertujuan membantu kumpulan masyarakat yang kurang berkemampuan mendapat pendidikan tambahan,” katanya.


Menurutnya, SPM mendapat perhatian serius Biro HELP kerana peperiksaan itu menjadi tunjang kepada golongan pelajar untuk mendapatkan tempat di pusat pengajian tinggi, sekali gus memastikan pelajar Bumiputera tidak terlepas daripada mendapat peluang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.


Katanya, Pemuda Umno komited membantu lebih ramai pelajar terutamanya calon lepasan SPM mendapat tempat di mana-mana institusi pengajian di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di seluruh negara.


“Justeru, Pemuda Umno dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Mara mahu memainkan peranan membantu pelajar yang tidak mendapat tempat ini melanjutkan pengajian agar mereka boleh berjaya serta mengubah nasib diri dan keluarga apabila dewasa kelak,” katanya.


Beliau berkata, kita tidak mahu pelajar yang mengikuti kelas tambahan ini tamat begitu sahaja, malah akan memastikan mereka dibimbing terus hingga berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.


“Usaha itu dilihat mampu memberi peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, seterusnya menjadi insan berguna yang dapat membantu keluarga. Sekurang-kurangnya, bila dalam satu keluarga ada contoh yang baik, ia akan jadi ikutan buat adik-beradik lain,” katanya.


Mengenai program tersebut, beliau berkata, pemilihan pelajar untuk mengikuti tuisyen tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang dikehendaki secara menyeluruh.


Beliau berkata, pada mulanya, program tersebut hanya memberi fokus kepada pelajar Melayu, namun terdapat juga pelajar  India dan Cina yang kurang berkemampuan dipilih bagi turut sama mendapat manfaat daripada pelaksanaan inisiatif ini.


“Ini kerana di sekolah-sekolah dalam negara ini, kita dapati bukan sahaja kaum Melayu yang perlukan bantuan, namun India dan Cina juga ada yang kurang mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen.


“Disebabkan itu, ada juga pelajar India dan Cina yang dipilih untuk menyertai program ini,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]