269 kes disiasat bawah Akta 588

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat sejumlah 269 kes merangkumi pelbagai kesalahan menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sepanjang Januari hingga 30 September lalu.


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 146 kes telah disiasat mengikut Seksyen 233 akta tersebut.


“Sebanyak 56 kertas siasatan telah dibuka dan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan dan selebihnya masih dalam siasatan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Dr Ismail Daut (BN-Merbok) yang ingin tahu jumlah kes kesalahan bawah Akta 588 yang tercatat sepanjang tahun ini dan sama ada kerajaan bercadang untuk menambah baik akta itu.


Beliau berkata buat masa ini kerajaan berpandangan undang-undang sedia ada bawah Akta 588 mencukupi bagi menangani kesalahan yang berlaku dalam industri komunikasi dan multimedia terutamanya berkaitan penyalahgunaan internet dan media sosial.


Jailani berkata, sekiranya terdapat kekangan bidang kuasa oleh SKMM, tindakan sewajarnya masih boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada  agensi penguatkuasaan yang lain.


Katanya, antara peruntukan undang-undang tersebut termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Fitnah 1957, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Jenayah Komputer 1997.


“Semua aduan yang diterima akan disusuli tindakan pihak SKMM, melibatkan tindakan penguatkuasaan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, notis amaran, nasihat, serta tindakan merujuk kepada agensi penguatkuasaan yang lain untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]