Adun Kota Darul Aman lapor SPRM, siasat peruntukan Dun

in Semasa by


ALOR SETAR – Adun Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, selepas tuntutannya terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak diendahkan.          


Book Kok pada 19 Oktober lalu memberi tempoh seminggu kepada Ahmad Bashah untuk memberi perincian berhubung peruntukan di kawasan Dun Kota Darul Aman, yang didakwa dibelanjakan untuk aktiviti di pejabat berkenaan.


“Perkara ini telah saya bangkitkan pada Sidang Dun Kedah, Ogos lalu. Ketika itu, saya mohon butiran peruntukan negeri untuk kerusi-kerusi Dun dimenangi pembangkang, namun jawapan diberikan meragukan,” katanya.


Menurutnya, berdasarkan laporan diperolehi, sebanyak RM20,000 dibelanjakan untuk penyelenggaraan Pejabat Dun Kota Darul Aman, RM17,000 untuk aktiviti tahunan wakil rakyat Dun Kota Darul Aman serta RM3,500 pembelian walkie-talkie.


“Kesemua perbelanjaan itu direkodkan bawah pejabat wakil rakyat, iaitu saya, sedangkan saya langsung tidak terima satu sen. Saya syak peruntukan itu kononnya untuk kawasan saya digunakan tanpa pengetahuan saya,” katanya.


Boon Kok berkata, ketika ditanya dalam sidang Dun lalu, beliau dimaklumkan terdapat kesilapan ayat namun penjelasan itu tidak munasabah.


“Setahu saya, ada sebuah pejabat digunakan sebagai pejabat penyelaras Dun Kota Darul Aman yang juga pejabat Umno Cawangan Seberang Perak. Saya membuat laporan ini kerana mengesyaki peruntukan negeri bagi kawasan saya, untuk kegunaan pengundi telah disalah guna untuk aktiviti parti politik (Umno),” katanya.


Sehubungan itu, pihaknya mahu SPRM menyiasat kemungkinan wujud salah guna kuasa dan peruntukan, bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.


Manakala Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung selaku peguam dilantik berkata, pihaknya kesal kerana Ahmad Bashah tidak menjawab surat peguam bertarikh 19 Oktober, berhubung penjelasan penyalahgunaan peruntukan negeri di kawasan terbabit.


“Jika peruntukan itu digunakan untuk kepentingan Umno, ia mempunyai elemen jenayah. Saya percaya bukan sahaja Umno mengawal penggunaan peruntukan negeri, malah berjuta-juta dana pembangunan dari peruntukan khas Perdana Menteri untuk kawasan Alor Setar setiap tahun, turut dikawal dan disalurkan melalui pejabat Umno,” katanya.


Menurutnya, laporan SPRM itu juga mahu siasatan dilakukan terhadap dana pembangunan peruntukan khas Perdana Menteri yang didakwa disalah gunakan Umno.


“Saya juga kecewa dengan kepimpinan MCA Kedah yang berdiam diri dan gagal menjawab mengapa peruntukan negeri di kawasan pembangkang, seperti Dun Kota Darul Aman, kawasan majoriti Cina dikawal sepenuhnya oleh Umno,” katanya.


Hsiao Leung mendakwa kepimpinan MCA Kedah pernah tegaskan pengundi Alor Setar telah hilang peruntukan pembangunan, namun parti itu tidak pernah menyuarakan hasrat dan bertindak umpama ‘tikus’.


“Apabila diminta fakta berkaitan peruntukan untuk kerusi dimenangi pembangkang, ada diberikan, termasuk Alor Setar, namun ia dikuasai Umno, MCA seolah tiada hak dan kuasa,” katanya.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]