Banjir: Demam panas sejak di pusat pemindahan

in Edisi Utara by


BALING – Seorang kanak-kanak yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Kampung Kuala Bakong, didapati mengalami demam panas sejak hari pertama dipindahkan ke situ.


Neneknya, Jahara Jusoh,70, berkata, cucunya, Mohd Aizat Zulkipli,11, mengalami demam panas selepas dipindahkan malam kelmarin.


Menurutnya, rumah didudukinya bersama anak dan menantu berusia 35 tahun serta empat anak mereka dalam lingkungan empat hingga 13 tahun dinaiki air hingga paras hampir satu meter.


“Hujan daripada pagi Sabtu tak berhenti, bila malam air mula naik lebih daripada paras pinggang orang dewasa.


“Malam tu juga kami pindah ke rumah seorang lagi anak makcik yang terletak di kawasan tinggi di sebelah rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Banjir Masjid Kuala Bakong di sini, hari ini.


Menurutnya, tahap kesihatan cucunya itu semakin merosot selepas mereka sekali lagi berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir di Masjid Kampung Kuala Bakong.


“Hari Ahad, cucu terus demam dan suhu badannya panas. Dari semalam asyik muntah dan tak makan. Hari ni baru dia jamah sedikit makanan.


“Sepanjang duduk di sini, kesihatan¬† cucu dipantau Jabatan Kesihatan. Hari ini nampak kesihatan dia semakin elok,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) Baling, Shamsul Izrin berkata, mangsa banjir di pusat pemindahan semakin berkurangan daripada 109 kepada 74 mangsa.


“109 mangsa banjir melibatkan 19 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan pada hari Ahad. Hari ini jumlahnya berkurangan kepada 74 orang melibatkan 14 keluarga,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]