Bina GR1M atas tanah rizab

in Edisi Johor by


PONTIAN – Kewujudan bangunan Gerai Rakyat 1Malaysia (GR1M) di Kampung Parit Sikom sejak setahun lalu menimbulkan tanda tanya kerana ia dibina di atas tanah rizab.


Penyelaras PKR Dun Pulai Sebatang, Ronald Sia mendakwa, bangunan yang menempatkan tiga premis perniagaan itu dibina dalam kawasan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


Susulan itu, pihaknya telah membuat laporan di Balai Polis Kayu Ara Pasong di sini, pagi kelmarin, bagi meminta satu siasatan dilakukan berhubung perkara  tersebut.


Menurutnya, dakwaan mereka berasas kerana terdapat satu papan notis yang menerangkan status tanah berkenaan.


“Kami mendapati dalam jarak tidak sampai 100 meter daripada bangunan tersebut terdapat satu papan notis yang jelas menerangkan bahawa tanah di situ merupakan rizab JPS.


“Diharapkan pihak bertanggungjawab dapat memberikan jawapan berhubung persoalan kami supaya tidak timbul sebarang spekulasi,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.


Penduduk, Mohd Najib Kasmuni, 41, berkata, sehingga kini bangunan berkenaan masih belum beroperasi.


Jelasnya, bangunan yang telah dilengkapi bekalan air itu dikhuatiri akan menjadi sasaran pencuri sekiranya terus dibiarkan.


“Kami tidak mahu lihat bangunan di sini terbiar. Jika sudah siap sepenuhnya kenapa tiada lagi peniaga yang masuk ke sini.


“Papan tanda yang tertera Jata Negara turut menimbulkan pertanyaan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan 3 Mukim Api-api, Hanafi Sarbini memaklumkan bangunan berkenaan telah mendapat kebenaran daripada pihak JPS sebelum dibina.


Mengenai bekalan elektrik pula katanya, pemasangan meter di luar bangunan sudah pun dipasang.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]