Ejen insurans, guru tadika ditipu

in Uncategorized by


IPOH – Panik nama disenaraihitamkan, seorang ejen insurans kerugian RM15,400 selepas memberikan butiran diri yang diminta individu kononnya wakil Bank Negara.


Mangsa yang mahu dikenali sebagai Lau, 37, berkata, semuanya berlaku selepas dia menerima panggilan yang mendakwanya membelanjakan RM3,698.48 menggunakan kad kredit di Kuala Lumpur


Menurutnya, walaupun diberitahu tidak pernah ke tempat itu, individu berkenaan memintanya menghubungi Bank Negara supaya namanya tidak disenaraihitamkan.


“Setelah beri beberapa maklumat, saya diminta tutup semua akaun bank yang dimiliki dan menunggu dalam tempoh 24 jam.


“Disebabkan keadaan ini sangat pelik, saya bergegas ke bank malangnya kesemua wang dalam ketiga-tiga bank milik saya sudah tiada,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Adun Bercham, di sini.


Dalam kes kedua, seorang guru tadika ditipu syarikat kewangan di Facebook yang menawarkan skim mudah bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan dan memberikan pinjaman mudah kepada orang ramai.


Pengadu, Yik Fei, 33, berkata, syarikat itu menawarkan kaedah penstrukturan semula kewangan bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan dialaminya, Mac lalu.


“Saya hanya mendaftar maklumat diri di satu laman Facebook dan diminta membayar sejumlah wang pendahuluan bagi membuat pinjaman wang secara dalam talian.


“Sselepas itu, saya terima mesej melalui WhatsApp meminta saya membuat bayaran RM5,370 berikutan cek pinjaman sudah siap, namun selepas itu nombor berkenaan gagal dihubungi,” katanya.


Menurutnya, pihak syarikat tersebut turut memintanya membuka satu akaun bank dan sehingga tempoh itu, wang pinjaman tersebut masih belum diperolehnya.


Yik Fei berkata, dia kerugian sekitar RM4,000 dan satu laporan polis dibuat pada 12 April lalu.


Sementara itu, Adun Bercham, Cheong Chee Khing berkata, dua kes berkenaan menunjukkan orang ramai mudah terpedaya dengan panggilan kononnya dari bank mengenai jumlah tunggakan pinjaman atau meminta pengesahan transaksi kad kredit.


Katanya, pemanggil palsu yang menggunakan klon nombor telefon yang mirip pelbagai agensi membuatkan orang ramai percaya.


“Orang ramai perlu berhati-hati dengan modus operandi seperti ini. Paling penting tidak mendedahkan identiti diri,” katanya.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]