Enam anak Orang Asli tetap hadapi SPM walaupun banjir

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Keadaan banjir tidak menghalang enam calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal di Kampung Simpang Arang dekat Gelang Patah, di sini, untuk terus menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini.


Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, kesemua mereka yang merupakan pelajar Orang Asli Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah, di sini, telah dibantu ke pusat peperiksaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik guru sekolah berkenaan.


Menurutnya, mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan itu tidak dapat pergi ke sekolah berikutan jalan yang menghubungkan antara kampung dan pusat peperiksaan telah ditenggelami air


“Kampung yang mereka tinggal tidak banjir, tetapi jalan masuk yang menghubungkan antara pusat peperiksaan dengan calon terputus akibat banjir. Mereka antara 243 calon SPM yang menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan SMK Gelang Patah.


“Pada awal pagi, guru sekolah mendapat maklumat dari ibu bapa calon berkenaan berhubung masalah itu dan tindakan membantu mereka segera dilakukan.


“Seorang guru mengambil inisiatif untuk membawa kesemua calon SPM orang asli ini menggunakan kenderaan miliknya supaya enam anak Orang Asli itu boleh menduduki peperiksaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke pusat peperiksaan SPM di SMK Sultan Ismail, di sini, hari ini.


Hadir sama; Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Shaharudin Sharif.


Pada tahun ini terdapat 55,673 calon SPM membabitkan 292 buah sekolah di Johor. Daripada jumlah tersebut, seramai 48,848 adalah calon sekolah kerajaan; 742 calon Maktab Rendah Sains Mara; 99 calon Sekolah Agama Kerajaan Negeri; 4,144 calon sekolah swasta dan 1,840 calon persendirian.


Ayub berkata, pihaknya telah bersiap sedia dengan segala kemungkinan bagi memastikan semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan itu.


“Kita telah menubuhkan operasi khas yang dinamakan operasi payung sebagai persiapan sekiranya calon SPM atau pusat peperiksaan terlibat dengan banjir khususnya di kawasan luar bandar.


“Jadi, kita telah bersiap sedia atas perkara itu untuk memastikan kesemua calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa apa-apa masalah,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]