Jangan lupa jaga kesihatan ketika banjir

in Nasional by


PUTRAJAYA – Susulan daripada banjir yang melanda tiga negeri di Utara tanah air iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak, Kementerian Kesihatan Malaysia menegaskan agar mangsa banjir tidak lupa untuk menjaga kesihatan mereka.


Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam pada kita bertungkus lumus menyelamatkan harta benda dan ahli keluarga ke tempat selamat namun keselamatan dan kesihatan jangan diabaikan.


“Mangsa banjir perlu mengamalkan penjagaan kebersihan semasa dan selepas banjir terutama sekali perlu membasuh tangan dengan sabun dan air bersih terutamanya ketika penyediaan makanan dan aktiviti pembersihan.


“Pemakaian alat perlindungan diri seperti sarung tangan dan but juga perlu dititikberatkan agar kecederaan dan sentuhan kepada air banjir dapat diminimumkan.


“Orang ramai juga hendaklah peka dengan arahan semasa dari pihak berkuasa seperti mengawasi anak-anak daripada bermain air banjir untuk mengurangkan kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti kecederaan, kejutan elektrik, kematian dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Daerah-daerah yang terlibat banjir adalah lima daerah di Pulau Pinang iaitu di Timur Laut, Barat Daya, Seberang Prai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara. Tiga daerah di Kedah iaitu di Yan, Kulim dan Kuala Muda, manakala di Perak pula melibatkan satu daerah iaitu daerah Perak Tengah.


Sementara itu, Noor Hisham meminta agar para mangsa banjir turut mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di Pusat Pemindahan disamping menjaga kebersihan di situ.


“Selain itu, mangsa banjir perlu mewujudkan hubungan silaturahim yang baik sesama mangsa banjir dengan mengamalkan kesihatan mental yang baik seperti bertegur sapa, mengelakkan ketegangan dan saling membantu di antara satu sama lain.


“KKM ingin menasihatkan orang ramai terutama mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan dan yang telah pulang ke rumah masingmasing hendaklah terus menjaga kebersihan dan Kesihatan.


“Jika sakit, segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran, dinasihatkan supaya memasak air minuman dan makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna.


“Perhatian perlu diberikan untuk mengelakkan kecederaan terutamanya semasa membuat kerja-kerja pembersihan selepas banjir,” katanya lagi.


Air banjir merupakan air yang tercemar dan kotor yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit berjangkit seperti cirit birit, demam kepialu (tifoid), hepatitis A dan leptospirosis (penyakit kencing tikus).


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]