Karangkraf lawat keluarga Allahyarham Pendikir Tersohor

in Edisi by


KOTA BHARU- Keluarga Pendikir Tersohor, Allahyarham Megat Nordin atau namanya sebenarnya Nordin Yusoff, 56,menerima kunjungan Solidariti Pendikir-Pendikir Lembang Klang yang turut disertai, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Datuk Mohd Nasir Hamzah di sini semalam.


Kunjungan terbabit turut mendapat kerjasama Pengerusi Persatuan Artis-Artis Dikir Barat Malaysia (PERARDIKMA), Sulizi Che Awang dan Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Anak Kelantan (Pakkak) yang diwakili Presidennya Mohamad Aswady Adenan dan ahli jawatankuasa.


Nasir yang juga duta khas Solidariti Pendikir berkata, kunjungan terbabit merupakan satu usaha untuk mendekatkan diri dengan para pendikir dan mendengar luahan dari pihak berkenaan.


“Walaupun kini Allahyarham Megat Nordin telah tiada, namun hubungan di antara pendikir tidak putus dan kebajikan pihak berkenaan turut diberi penekanan.


“Semoga hubungan silaturahim di antara pendikir akan terus mekar dan kerjasama akan bertambah erat dalam memartabatkan seni dikir barat,” katanya.


Sementara itu, balu Allahyarham, Khaironnisa Mat Dioh berkata, walaupun baru sembilan hari Allahyarham pergi meninggalkan keluarga namun, dia masih terasa seperi arwah suaminya masih ada bersamanya.


“Masih terngiang-ngiang suaranya di telinga saya. Dia (suami) pergi dalam keadaan tenang dan sempat berpesan, jika dia meninggal nanti jangan tinggalkan kediaman ini dan cubalah berniaga.


“Saya ingat pesanannya itu, dan sehingga kini saya masih setia tinggal di rumah kami di Kampung Chepa bersama dua anak,” katanya kepada Sinar Harian.


Khaironnisa berkata setakat ini dia masih berehat di kediaman itu dan jika tiada aral melintang akan menjalankan perniagaan makanan bagi menampung kehidupannya dan anak-anak.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]