KKM beri status tiga buah hospital baharu di Perak

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan telah menyatakan status pembinaan tiga buah hospital baharu di Perak iaitu Hospital Daerah Seri Iskandar, Hospital Daerah Parit Buntar dan Hospital Bandar Baru Kampar.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, projek Hospital Seri Iskandar telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kos RM120 juta.


Menurutnya, kaedah perolehan projek adalah secara tender terhad dan dilaksanakan melalui kaedah Konvensional Dalaman yang perlu melalui proses Value Management (VM) iaitu proses pengurusan yang melibatkan Value Assessment (VA) dan Value Engineering (VE) bagi semua projek yang melibatkan kos melebihi RM50 juta.


“Bagi tujuan itu, sesi VA akan dilaksanakan pada 23 hingga 27 Oktober 2017 seterusnya melalui sesi VE sebelum dimuktamadkan kos dan keperluan lain berkaitan pembinaan projek ini.


“Projek ini kemudian akan ditender setelah kos dimuktamadkan dan diluluskan oleh UPE JPM,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang hendak mengetahui status terbaharu tiga buah hospital berkenaan.


Tambah Hilmi, bagi projek Hospital Parit Buntar pula, ia telah ditender pada 14 Ogos lalu dan tarikh tutup tender pada 26 September lalu dan Surat Setuju Terima (SST) dijangka pada November ini yang mana kos yang diluluskan untuk projeknya ini ialah RM161 juta.


Katanya lagi, projek Hospital Kampar pula telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pasa 30 Mei 2012, namun mesyuarat pada 5 Mac 2014 telah membatalkan cadangan pelaksana hospital itu dan memutuskan projek itu dilaksanakan menggunakan peruntukan pembangunan kerajaan secara berfasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.


“Ini bagaimanapun tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.


“Pada masa sama kementerian dimaklumkan mengenai cadangan pembinaan sebuah hospital swasta yang bukan berasaskan keuntungan yang mana jaraknya adalah kira-kira empat kilometer daripada tapak cadangan Hospital Kampar,” katanya.


Bagaimanapun, lokasi tapak projek pembinaan Hospital Kampar berkapasiti 150 katil adalah di Bandar Agacia, Taman Kampar Putra yang merupakan kawasan bekas lombong seluas 100 ekar yang mana 40 peratus adalah tanah dan 60 peratus adalah air.


“Mengambil kira faktor tapak, ia dilihat memerlukan kos yang tinggi untuk tujuan rawatan tanah dan pada masa sama ada cadangan pembinaan sebuah hospital oleh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), jadi kementerian tidak teruskan cadangan pembinaan Hospital Kampar,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]