Masih bersemangat walau putus kaki

in Global by


KILIS – TURKI. Hasrat Misi Kembara Kemanusiaan Syria Care 5.0 untuk bertemu mata dengan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang kehilangan sebelah kaki selepas terkena serangan udara tentera Regim Presiden Bashar al Assad, menjadi kenyataan apabila rombongan berkenaan berjaya melepasi sempadan Turki.


Pertemuan berlangsung di Maahad Abdullah Ibnu Huzafah yang juga salah sebuah sekolah di bawah selian Syria Care  bersama Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki dan wakil Turkiye Diyanet Vakfi-TDV.


“Pihak pengurusan Syria Care sangat tersentuh hati melihat gambar adik Iman yang mana hanya terbaring dan memandang kakinya yang terputus selepas satu serangan bom di Jisr al-Sughur, Idlib, September 2017 yang lalu.


“Lebih pilu apabila bapa, adik dan bapa saudaranya turut terbunuh dalam kejadian itu, dia bagaimanapun langsung tidak menangis dan seolah-olah masih trauma dengan apa yang dia baru tempuhi,” katanya.


Ketika dikunjungi, datuknya menunjukkan kaki Iman yang terputus dan terdapat juga kesan serpihan bom di bahagian perutnya. Tambahnya lagi, bahagian kaki cucunya yang terputus masih gagal ditemui.


Kecederaan yang dialami menyebabkan mangsa terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga yang lain, keadaan itu menambah lagi kesengsaraan yang ditanggung keluarga itu.


“Akibat daripada serangan tersebut, kini adik Iman terpaksa memakai lampin pakai buang atas faktor kesulitan yang dia hadapi.


“Walaupun besar dugaannya tetapi dia masih kuat semangat dan mampu berbicara dengan kami walaupun masih dalam keadaan yang sangat lemah sebenarnya,” katanya lagi.


Pada pertemuan yang berlangsung, Syria Care telah menghulurkan bantuan kewangan dan segala kos perubatan Iman akan dibiayai oleh hasil sumbangan rakyat Malaysia.


Kepada mereka yang ingin terus membantu ramai lagi mereka yang senasib dengan Iman, boleh berbuat demikian melalui Akaun bank Syria Care iaitu  CIMB Islamic : 8601 89 4560, Maybank Islamic : 5621 0665 3575,  RHB Islamic : 2622 5000 021775,  Affin Islamic : 1059 9004 0004.


Source: SH Global

[featured-video-plus]