Perodua Viva hilang ditemukan terlerai

in Edisi by


BESUT – Polis menjumpai sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dilaporkan hilang sejak Rabu lepas, di sebuah bengkel di Kampung Gong Bayor, Alor Lintang dekat Kampung Raja di sini Sabtu lepas dalam keadaan komponennya dileraikan.


Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rawi berkata, susulan penemuan itu, polis menahan enam suspek lelaki berusia 19 hingga 43 tahun dalam Op Lejang di sekitar kampung berkenaan.


Beliau berkata, tiga lelaki berusia 19 hingga 39 tahun ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja.


Menurutnya, hasil soal siasat, polis menemukan pelbagai barangan kes termasuk motosikal Honda EX5 hitam yang turut dilaporkan hilang serta Perodua Viva berkenaan.


“Susulan penemuan barang kes itu, polis kemudian menahan tiga lagi suspek berusia 29 hingga 43 tahun di sekitar daerah ini dan turut merampas lima pil disyaki dadah diletakkan di dalam dua tiub penyedut minuman,” katanya.


Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati empat daripada enam suspek itu turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan pencerobohan.


“Hasil ujian saringan awal kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.


“Kesemua mereka direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A, Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]