Rakyat Malaysia dipercayai antara pengganas terkorban

in Global by


MANILA – FILIPINA. Pihak tentera amat yakin bahawa pengebom rakyat Malaysia, Amin Baco, adalah antara yang terbunuh ketika satu pertempuran sengit berlaku dalam usaha untuk menawan semula Bandar Marawi daripada Kumpulan Maute, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).


Perkara ini didedahkan oleh jurucakap Angkatan Bersenjata Filipina (AFP) Mejar Jeneral Restituto Padilla menerusi satu mesej pada Isnin, yang bercanggah dengan dakwaan Ketua Pengarah Polis Kebangsaan Filipina (PNP) Ronald dela Rosa bahawa Baco kini adalah emir baharu kumpulan militan Daesh di Asia Tenggara.


“Bertentangan dengan pengumuman baru-baru ini oleh beberapa pegawai bahawa kumpulan militan itu kini diketuai Amin Baco,  pihak AFP amat yakin bahawa kumpulan itu kini tiada pemimpin dan tidak mempunyai arah tujuan. Amin Baco dipercayai antara mereka yang terbunuh di Marawi baru-baru ini. Pencarian mayat Baco kini dilakukan secara agresif dan berterusan,” katanya.


Padilla turut menafikan bahawa saki-baki pejuang sesat Kumpulan Maute mampu mempengaruhi situasi keselamatan keseluruhan bandar yang dilanda konflik itu.


“Susulan kejayaan operasi tempur di Bandar Marawi, AFP kini secara agresif sedang menjalankan operasi pembersihan. Operasi pembersihan difokuskan kepada kawasan selebihnya di Marawi yang dipercayai menjadi tempat pejuang sesat terbabit untuk terus bertahan dan bersembunyi sebelum meloloskan diri dari kawasan pertempuran utama,” katanya.


Selain itu, Padilla berkata Ketua Turus AFP Leftenan Jeneral Rey Leonardo Guerrero memberi jaminan kepada penduduk Marawi bahawa pihak tentera sedang berusaha sedaya upaya untuk mempercepat pemulihan bandar itu kepada keadaannya yang biasa.


Kira-Kira 923 anggota Kumpulan Maute dan sekutunya terbunuh dalam kempen lima bulan menentang kumpulan pengganas itu yang bermula pada 23 Mei lepas.


Dalam pada itu, sejumlah 165 anggota tentera dan polis terbunuh dalam pertempuran yang hanya berakhir pada 23 Oktober.


Pada Isnin, Dela Rosa mendakwa Baco kini adalah emir baharu Daesh di Asia Tenggara berikutan kematian Isnilon Hapilon di Bandar Marawi pada 16 Oktober lepas.


Beliau turut mendakwa bahawa kira-kira 39 pejuang sesat Kumpulan Maute masih bersembunyi di Bandar Marawi. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]