Redah banjir, jawab SPM di hospital antara ragam calon

in Nasional by


HARI pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipenuhi pelbagai ragam.


Hari ini, 443, 883 calon di seluruh negara menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, bermula dengan Bahasa Melayu Kertas 1.


Di Pulau Pinang, sesetengah pelajar perlu meredah banjir untuk ke sekolah.


Seramai 150 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ahmad Said misalnya, terpaksa menaiki lori dan kenderaan pacuan empat roda disediakan agensi kerajaan persekutuan.


[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar rabun kronik jawab SPM guna kertas A3]


[ARTIKEL BERKAITAN:  Peperiksaan SPM bermula]


SMK Datuk Ahmad Said adalah antara sekolah yang ditenggelami air hingga paras pinggang akibat banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lepas.


“Biarpun terpaksa menjawab dalam keadaan kurang selesa, saya tetap bersyukur ramai pihak menyalurkan bantuan untuk mempermudahkan urusan hari ini demi  membolehkan calon mengambil peperiksaan,” katanya seorang calon SPM,  Muhammad Firdaus Zulkifli.


Di Besut, seorang calon peperiksaan itu cedera selepas kereta dinaiki bersama dua penumpang lain terlibat dalam kemalangan di selekoh dekat Kampung Gertak Jerubun, Hulu Besut.


“Abang saya memandu laju sedikit supaya sempat bagi kami berdua menyertai solat hajat yang akan diadakan di sekolah bermula 7.20 pagi,” katanya Mohammad Zulfiqar pula.


Walaupun terpaksa menduduki peperiksaan SPM di katil hospital, itu tidak mematahkan semangat seorang calon dari Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku untuk melakukannya bersungguh-sungguh.


[ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM masuk wad kemalangan]


[ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM terpaksa redah banjir]


Wartawan Sinar Harian, Norfarhiza Mohd Atar melaporkan Ahmad Zul Muaz Ahmad Sohairi, 17, terpaksa menjawab peperiksaan SPM di Hospital Kuala Lipis setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 19 September lalu.


Ahmad Zul Muaz berkata, kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari dekat Tempoyang itu menyebabkan dia kehilangan kaki kanan, patah kaki kiri dan putus jari kelingking kanan.

Ahmad Zul Muaz sedang mengulang kaji pelajaran sebelum peperiksaan SPM di Hospital Kuala Lipis di sini, hari ini


Biarpun terlantar di katil hospital sejak dua bulan lalu namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengulang kaji pelajaran dan menjawab peperiksaan sebaik mungkin.


Pelajar aliran Sastera itu akan menduduki peperiksaan SPM di hospital  sehingga 23 November nanti.


Chow Jia Yin, calon SPM yang menghidap  penyakit rabun kronik, hari ini menjawab peperiksaan itu menggunakan kertas soalan lebih besar iaitu bersaiz A3 yang disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia.


Gurunya, Zalilah Abd Kahar berkata, Chow menjawab soalan peperiksaan menggunakan kertas bersaiz A3 sejak Peperiksaan PT3, termasuk peperiksaan dalaman yang dijalankan pihak sekolah.


Kata Zalilah,  pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan melakukan beberapa ujian kepada pelajar terbabit bagi mengesahkan tahap penglihatannya.


“Selepas disahkan, barulah Chow dibenarkan menjawab peperiksaan menggunakan kertas bersaiz A3 ini,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Mewah.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]