Skuad B-19 negara benam Indonesia 4-1

in Sukan by


SKUAD Bawah-19 (B-19) negara mencerahkan peluang layak ke Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, selepas membenam Indonesia 4-1 pada aksi kelayakan hari ini.


Pada aksi Kumpulan F, kempen kelayakan Kejuaraan AFC B-19 di Paju, Korea Selatan hari ini, skuad negara membuka jaringan menerusi penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak seawal minit ketujuh menerusi sepakan penalti, sebelum Akhyar Rashid menggandakan jaringan pada minit ke-34.


Indonesia, yang telah pun mengesahkan kelayakan ke kejohanan itu sebagai tuan rumah, kemudian bangkit merapatkan jurang dua minit sebelum babak pertama berakhir menerusi Hanis Saghara Putra.


Sejurus selepas separuh masa kedua bermula, skuad kendalian Bojan Hodak sekali lagi bertindak pantas untuk mendapatkan jaringan menerusi Shivan Pillay Asokan pada minit ke-47.


Lima minit kemudian, Hadi Fayyadh melengkapkan sepakan penalti keduanya menerusi sepakan kencang yang gagal dihalang oleh penjaga gawang Indonesia, Gianluca Pagliuca Rossy, selepas Malaysia dihadiahkan penalti kerana kekasaran Muhamad Luthfi Baharsyah ke atas pemain negara di dalam kotak penalti.


Malaysia memulakan kempen kelayakan menerusi kemenangan 3-1 ke atas Timor Leste pada Selasa lalu, sebelum mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Brunei, dan akan bertemu pasukan tuan rumah, Korea Selatan pada Rabu ini dalam aksi terakhir.


Mengikut format kelayakan, hanya kesemua 10 juara kumpulan (Kumpulan A-J) dan lima naib juara terbaik kumpulan layak ke pusingan akhir di Indonesia, yang akan berlangsung dari 8 Okt hingga 4 Nov 2018.


Empat pasukan teratas di Indonesia akan layak secara automatik ke Piala Dunia B-20 2019 FIFA, sebagai wakil AFC.- Bernama


 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]