SL1M latih lebih 138,000 pelajar

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Seramai 138,398 pelajar telah dibantu secara langsung dan tidak langsung menerusi program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) sehingga 1 Oktober lepas.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, pelaksanaan program itu melibatkan kerjasama 22 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR)  dengan kos latihan graduan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat.


“Khazanah Nasional Bhd iaitu antara syarikat yang melaksanakan SL1M dan merupakan penyumbang terbesar kejayaan SL1M. Pada 2015 dan dan 2016, seramai 5,160 siswazah telah dilatih di bawah Khazanah SL1M Green dengan perbelanjaan RM89 juta dalam pelbagai bidang.


“Daripada jumlah 5,160 itu, kira-kira 77 peratus peserta program berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat menjalani latihan tujuh bulan mencakupi sebulan dalam kelas dan enam bulan latihan di pejabat,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang ingin tahu peranan dan sumbangan Khazanah Nasional dalam pelaksanaan SL1M dalam meningkatkan kebolehpasaran siswazah sejak ia dilaksana pada 1 Jun 2011.


Kepada soalan tambahan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat), beliau berkata Khazanah akan mengkaji semula silibus latihan bagi mengatasi masalah tidak sepadan antara kursus yang diikuti dan tawaran pekerjaan.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]