Taburan hujan cecah 300mm

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Kawasan selatan Kedah dan Seberang Jaya, Pulau Pinang dilanda banjir kilat yang teruk selepas taburan hujan di kawasan berkenaan direkodkan mencecah 300 milimeter (mm).


Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Othman Aziz berkata, hujan lebat berterusan dalam tempoh beberapa jam itu menyebabkan banjir kilat dan ia di luar kawalan.


“Situasi ini jarang berlaku, hujan begitu lebat dan air naik dalam tempoh singkat. Walaupun di Kedah, hujan turun namun turunan air hujan diserap oleh kawasan sawah padi dan sungai, seterusnya dialir ke laut,” katanya selepas sesi pasca bajet bersama ketua-ketua unit peladang, semalam.


Othman turut menolak andaian antara faktor banjir di Kuala Muda dan Kulim berpunca daripada limpahan air daripada Empangan Muda.


“Kedudukan aras takungan air di Empangan Pedu pada 88.60 peratus, manakala Empangan Muda pada 103 peratus, menyebabkan air melimpah semula dari empangan sekitar jam 6 petang kelmarin, terkini pada kadar 16.1 meter padu sesaat,” katanya.


Bagaimanapun, keadaan terkawal setelah limpahan itu dialirkan ke Sungai Muda, bersempadan Pantai Merdeka dan Kepala Batas, seterusnya ke laut.


“Banjir kilat yang melanda bukan akibat limpahan air empangan, sebaliknya berpunca daripada turunan hujan yang tinggi,” katanya.


Othman berkata, taburan hujan lebat direkodkan di selatan kawasan Mada; Wilayah III Mada (Pendang) sebanyak 123mm di Bukit Perak manakala Sungai Pendang (158mm).


Bagi kawasan Wilayah IV Mada (Kota Sarang Semut) merekodkan 233mm di Sungai Gurun dan Kuala Dulang Kechil (153mm).


“Ini menyebabkan aras Sungai Gurun melepasi aras bahaya di Kampung Perupok, manakala di kawasan tadahan Sungai Pendang, turunan hujan antara 70-100mm, namun aras sungai utama masih normal,” katanya.


Othman berkata, walaupun begitu, Mada bersiap siaga sekiranya banjir turut melanda kawasan Mada, dengan memantau pintu tandop pasang surut.


“Setakat ini belum ada aduan libatkan kerosakan tanaman padi di Kedah, malah tindakan diambil dengan merendahkan aras air di semua tali air dan parit untuk mengelak banjir memasuki bendang,” katanya.


Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan renyai dan berterusan dijangka di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis sehingga Selasa.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]