Terlibat kemalangan sehari sebelum SPM

in Edisi by


JERANTUT – Malang tidak berbau buat seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Sungai Retang apabila terlibat dalam kemalangan sehari sebelum peperiksaan itu.


Disebabkan itu, pelajar terbabit, Muhammad Firdaus Zainuddin, 17, terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Jerantut, hari ini.


Bercerita lanjut tentang kemalangannya itu Muhammad Firdaus berkata, dia terlibat dalam kemalangan sekitar jam 7 petang semalam ketika hendak memulangkan motosikal yang dipinjam dari rakannya.


Katanya, dia meminjam motosikal rakannya itu untuk ke kelas tambahan Seni Visual sebagai ulang kaji terakhir sebelum menduduki peperiksaan kertas terbabit pagi tadi.


“Dalam perjalanan hendak memulangkan motosikal kawan itu secara tiba-tiba saya bertembung dengan sebuah motosikal yang lain.


“Kemudian saya pengsan dan sedar-sedar telah dibawa ke hospital. Saya mengalami kecederaan ringan seperti luka-luka geseran di beberapa bahagian tangan, kaki, badan dan kepala,” katanya.


Tambahnya, ini merupakan pengalaman pertama kalinya menduduki peperiksaan di hospital, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuannya untuk menjawab peperiksaan.


“Saya sudah membuat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan, justeru tidak merasa gentar untuk menduduki peperiksaan meskipun terpaksa mendudukinya di hospital,” katanya.


Bagaimanapun Muhammad Firdaus mengakui terpaksa menjawab dengan perlahan dua kertas peperiksaan yang didudukinya kerana mengalami kecederaan di bahagian tangan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]