Terpaksa tangguh SPM

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Kalau ikutkan saya akan menduduki peperiksaan yang paling penting dalam hidup saya, tapi sebab kesihatan tak mengizinkan saya terpaksa tangguhkannya dahulu,” kata Nur Faranadhirah Saharudin, 17.


Nur Faranadhirah disahkan doktor mempunyai ketumbuhan iaitu dua ketulan di antara otak kanan dan kiri, menyebabkan dia terpaksa menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.


Menurutnya, dia hanya mengetahui mempunyai ketumbuhan di otak selepas penglihatannya tiba-tiba menjadi kabur dan sering sakit kepala.


“Sebelum ni tak ada rasa sakit apa-apa, cuma satu hari tu di sekolah, tiba-tiba sahaja saya tak nampak dan hampir pengsan.


“Sejak hari itu, kesihatan saya makin teruk. Selalu sakit kepala dan paling teruk masa Ramadan lalu,” katanya.


Nur Faranadhirah berkata, kerana tidak tahan menanggung kesakitan berterusan, bapanya membawanya ke hospital dan kemudiannya menjalani ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).


Katanya, hasil ujian tersebut doktor menemui dua ketulan di antara otak kanan dan kiri yang memerlukan ia dibuang segera bagi mengelakkan terus merebak.


“Selepas jalani pembedahan, mata kiri saya kini tak dapat melihat dan doktor sarankan saya bertemu pakar mata di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang bagi merawatnya.


“Walaupun diuji dengan sakit ini, saya tetap mahu habiskan persekolahan dan tekad ambil SPM tahun hadapan selepas diberi cuti sakit sejak Julai hingga Disember ini,” katanya.


Sementara itu, bapanya, Saharudin Jais, 45, berkata, anaknya baru sahaja menjalani pembedahan membuang dua ketumbuhan yang setiap satunya bersaiz enam sentimeter pada Julai lalu.


Katanya, kini Nur Faranadhirah masih menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru dan rawatan berkenaan perlu dilakukan sehingga baki ketumbuhan dibuang sepenuhnya.


“Anak saya perlu menjalani rawatan susulan termasuk radioterapi dan kimoterapi di HSI sebelum baki ketumbuhannya dibuang November ini. Buat masa ini kami terpaksa berulang-alik dari Batu Pahat ke Johor Bahru untuk rawatan berkenaan setiap minggu.


“Walaupun saya lihat kadang-kadang Nur Faranadirah tidak bersemangat, kami sekeluarga tetap menyokong dan memberi semangat kepadanya untuk teruskan rawatan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]