Tiada sekolah di Perak terjejas banjir

in Edisi by


IPOH – Tiada sekolah di Perak ditutup atau terjejas akibat banjir kilat susulan hujan tanpa henti sejak beberapa hari lepas.


Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Mat Lazim Idris berkata, sehingga kini, hanya Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tiga di daerah Perak Tengah  masih menempatkan mangsa banjir selepas SK Kenering di Gerik dalam daerah Hulu Perak ditutup kerana banjir mulai surut.


“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memaklumkan tiada sekolah menengah terlibat dengan banjir cuma dua sekolah rendah digunakan untuk mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas melawat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Damai di sini, hari ini.


Mat Lazim berkata walaupun tiada sekolah atau pusat peperiksaan yang terjejas dengan banjir, namun pihaknya mempunyai pelan sekiranya bencana alam itu berlaku.


“Jabatan mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) dikenali sebagai ‘Operasi Payung’ untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang menghalang calon daripada menduduki SPM.


“Jika ada calon tidak dapat ke pusat peperiksaan kerana banjir, kita akan menempatkan mereka di pusat peperiksaan lain yang terdekat,” katanya.


Terdapat seramai 39,195 calon SPM di Perak mula menduduki peperiksaan hari ini di 332 pusat  peperiksaan di seluruh negeri.- Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]