Tiga ahli sindiket ditahan reman 7 hari

in Edisi by


KEMAMAN – Tiga ahli sindiket melepaskan bot nelayan Vietnam daripada dilupuskan ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan memberi sogokan wang tunai sebanyak RM100,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.


Perintah reman itu dikeluarkan oleh Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy di Mahkamah Majistret, di sini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.


Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada seorang jurubahasa sambilan wanita berusia 29 tahun bersama suaminya, 36, dan tauke bot warga Vietnam berumur 48 tahun dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi tadi.


Mereka bertiga ditahan di sebuah restoran di daerah ini kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam selepas menyerahkan wang tunai sebanyak RM100,000 kepada seorang pegawai Maritim Malaysia.


Sogokan itu sebagai rundingan supaya sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan baru-baru ini dan sedang menunggu untuk proses pelupusan dapat dilepaskan.


Bot terbabit dibawa masuk dan ditahan di jeti Pangkalan Maritim Kemaman di Bukit Kuang untuk siasatan lanjut.


Jurubahasa wanita berasal dari Vietnam itu yang dibantu suaminya yang juga pekerja pelantar minyak dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam proses rundingan antara tauke bot Vietnam dengan pegawai Maritim Malaysia.


Dipercayai pasangan suami isteri itu sebelum ini juga telah menyerahkan sogokan sebanyak RM55,000 kepada pegawai Maritim Malaysia untuk rundingan sebuah bot nelayan Vietnam lain pada Ogos lalu.


Modus operandi sama juga dipercayai akan digunakan suspek untuk melepaskan banyak lagi bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia atas kesalahan menangkap ikan secara haram dan masuk ke Malaysia tanpa permit sah.


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi suapan kepada penjawat awam.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]