Tujuh rakan bebas tuduhan miliki ganja

in Uncategorized by


TAIPING – Tujuh rakan termasuk dua kakitangan kerajaan dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Taiping, di sini sebentar tadi daripada pertuduhan memiliki dadah jenis cannabis Disember tahun lalu.


Hakim Rohaida Ishak membuat keputusan itu terhadap Azri Nizam Ahmad, 44; Muhammad Asyrizam Mazlan, 21; Hazmi Hazwan Mohd Osman, 28; Muhamad Syafiq Nahar, 22; Zolkapli Shaari, 58; Muhd Mazran Abd Hamid, 28 dan Abdul Rahim Ali, 43 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.


Mengikut pertuduhan, ketujuh-tujuh rakan ini didakwa memiliki dadah jenis kanabis dengan berat 199.6 gram pada 3 Disember 2017, lebih kurang jam 12.30 pagi.


Semua tertuduh didakwa memiliki dadah tersebut di sebuah premis barangan lusuh di No 214 Lorong 1, Kampung Boyan, Taiping.


Bagi semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952 akta yang sama serta dibaca di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan ia juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.


Tertuduh Azri Nizam, Muhammad Asyrizam, Zolkapli, Muhd Mazran dan Abdul Rahim diwakili peguam Ahmad Shamil  AzadAbdul Hamid manakala Hazmi Hazwan dan Muhamad Syafiq diwakili oleh peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.


Dalam pada itu, seawal jam 10 pagi kelihatan ahli keluarga semua tertuduh telah berada di perkarangan Kompleks Mahkamah Taiping.


Selain ahli keluarga, semua tertuduh juga  kelihatan tenang dan sabar menunggu keputusan.


Sebaik hakim membacakan keputusan majoriti ahli keluarga melahirkan rasa syukur sambil menitiskan air mata atas pembebasan tertuduh.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]