Zii Jia mahu perkuatkan mental

in Sukan by


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tetap berpuas hati prestasi dipamerkan sepanjang kempen Terbuka Bitburger, awal pagi semalam, walaupun gagal memburu gelaran kedua di peringkat senior.


Pada perlawanan separuh akhir itu, Zii Jia terpaksa akur apabila tewas kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke sekali gus meranapkan impiannya untuk melangkah ke final.


Bintang muda Denmark itu memerlukan hanya 33 minit untuk melakar kemenangan 21-11, 21-12 ke atas Zii Jia yang sebelum ini tampil dengan aksi konsisten termasuk ketika menyingkirkan pilihan ketiga dari Perancis, Brice Leverdez di suku akhir.


Apa pun, ia boleh dianggap pencapaian membanggakan buat Zii Jia sejak meraih gelaran pertamanya di peringkat senior dengan menjuarai Siri Antarabangsa Poland, dua bulan lalu.


Zii Jia berkata, kejayaan melangkah ke separuh akhir dalam kejohanan bertaraf Grand Prix Emas sudah cukup menggembirakan, tetapi kegagalan beraksi secara konsisten menyebabkan beliau terlepas peluang ke final.


“Saya puas hati dengan peningkatan saya, strategi permainan juga bertambah baik cuma saya tidak konsisten berbanding lawan.


“Saya juga rasa letih, dan mungkin terlalu yakin mampu menang mudah telah menjerat saya. Ini pengajaran yang saya terima.


“Apa pun, sejak menyertai skuad senior tahun ini saya sangat berpuas hati dengan pencapaian saya termasuk di beberapa kejohanan di Eropah sebelum ini, mampu muncul juara, layak ke separuh akhir dan suku akhir.


“Saya berjanji akan berusaha lebih baik lagi untuk mendapat keputusan cemerlang,” katanya.


Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-55 dunia, mengakui beliau perlu belajar bagaimana untuk memperkuatkan mental yang dianggapnya amat penting terutama ketika turun ke gelanggang.


“Selepas ini, saya akan menyertai Cabaran Antarabangsa Malaysia, jadi saya harap dapat mengambil pengajaran daripada pencapaian di Eropah dan bangkit kejohanan akan datang,” jelasnya yang berazam untuk meletakkan dirinya dalam kelompok 40 terbaik dunia hujung tahun ini.


“Saya berharap dapat meletakkan diri dalam kelompok 60 terbaik dunia sebelum ini tetapi saya sudah mencapainya. Saya fikir sasaran kini adalah 40 teratas,” katanya.


Terima kasih jurulatih


Sementara itu, Zii Jia menyifatkan prestasi cemerlangnya ketika ini disebabkan bimbingan yang diberikan oleh bekas Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen selain jurulatih perseorangan lelaki lain.


Sejak meraih gelaran pertamanya di peringkat senior dengan menjuarai Siri Antarabangsa Poland September lalu, Zii Jia terus menunjukkan peningkatan positif di Eropah apabila mara ke separuh akhir buat kali ketiga kejohanan bertaraf Grand Prix Emas.


Pemain perseorangan lelaki kedua negara itu berjaya melepasi sasaran awalnya untuk berada dalam kelompok 60 terbaik dunia apabila dia kini menghuni ranking ke-55 dunia.


“Terlalu banyak perkara yang berlaku terhadap saya dalam tempoh setahun ini.


“Terima kasih kepada individu seperti Morten Frost dan semua jurulatih perseorangan lelaki (Datuk Misbun Sidek, Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob) yang menyuntik semangat, keyakinan serta disiplin sehingga berjaya menjadi seperti sekarang.


“Saya janji akan terus membalas jasa mereka dengan menghasilkan keputusan yang cemerlang,” kata pemain berusia 19 tahun itu.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]