Bajet 2018: Ketelusan kerajaan negeri dipersoal

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Kesilapan butiran di dalam buku Anggaran Hasil negeri Selangor 2018 tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menimbulkan keraguan berkenaan ketelusan dalam Bajet Selangor 2018.


Adun Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, kecuaian sehingga menyebabkan kesilapan butiran dalam dokumen penting perbelanjaan negeri itu secara tidak langsung menyebabkan kredibiliti kerajaan negeri dipersoalkan.


“Notis ralat berkaitan kesilapan dalam buku Anggaran Hasil Negeri Selangor 2018 yang diedarkan kepada semua Adun pagi ini membuktikan kerajaan negeri mengakui ada berlakunya kesilapan dalam dokumen penting ini.


“Ralat ini adalah bukti prima facie di mana menunjukkan ketidakcermatan kerajaan negeri dalam mengendalikan butiran dalam bajet yang dibentangkan.


“Kecuaian pada dokumen penting seperti ini tidak patut berlaku…Ia akan menimbulkan keraguan biarpun selepas  pembetulan dilakukan,” katanya pada sidang media di Lobi Dewan Negeri Selangor, petang tadi.


Awal pagi tadi, semua Adun diedarkan notis ralat serta surat pemakluman ralat dan jadual pembaharuan Butir-butir Anggaran Hasil Bagi Tahun 2018 sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor berlangsung.


Semalam, ketika perbahasan dasar Belanjawan Selangor 2018, Mat Nadzari menggesa kerajaan negeri mengisytiharkan jumlah peruntukan disalurkan kepada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) yang diterima sejak 2012 sehingga tahun ini.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]