Bergaduh kerana kereta terbabas

in Semasa by


KLANG – Identiti kira-kira 10 lelaki telah dikenal pasti polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di Taman Sri Andalas Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, identiti kesemua saki-baki lelaki terbabit yang telah melarikan diri selepas memukul beberapa penduduk taman berkenaan dikenalpasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.


Menurutnya, pihaknya turut meneliti video-video dan gambar berhubung kejadian itu yang tular di laman sosial.


“Suspek utama pergaduhan kami telah kenal pasti dan kita percaya dia cuba melarikan diri dengan menuju ke arah utara tanah air, manakala lokasi suspek yang lain juga telah kenalpasti,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Klang Selatan, hari ini.


Dalam kejadian berkenaan, seorang penduduk yang juga pegawai polis berusia 49 tahun telah melepaskan tembakan untuk menyuraikan keadaan.


Susulan itu, seramai empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam di sekitar taman dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkenaan sementara 10 yang lain melarikan diri.


Amar berkata, insiden pergaduhan itu menyebabkan beberapa orang penduduk taman mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala, tangan dan pinggang.


“Seorang wanita yang kebetulan berada di lokasi kejadian turut cedera dilanggar sebuah kereta yang dinaiki beberapa suspek ketika cuba melarikan diri,” katanya.


Siasatan awal polis mendapati, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.45 malam apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki seorang lelaki bersama teman wanitanya telah terbabas dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Kenari di kawasan taman.


Beberapa orang penduduk taman terbabit telah keluar dari rumah masing-masing untuk melihat kemalangan itu, pasangan kekasih itu kemudian menelefon beberapa orang rakannya kerana bimbang dengan keselamatan mereka.


Selang beberapa ketika, datang kira-kira 15 orang kenalan pasangan itu dan berlaku sedikit pertengkaran antara kumpulan terbabit dengan beberapa orang penduduk.


Tambahnya, beliau turut mengingatkan orang ramai tidak memanipulasikan insiden tersebut dengan isu perkauman.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]