Ekonomi Bumiputera jadi agenda perbincangan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Pertumbuhan ekonomi Bumiputera pada masa akan datang akan dijadikan salah satu agenda pada Persidangan Agung Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 dan 19 November ini.


Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, sektor ekonomi orang Melayu akan dijadikan sebagai agenda utama pada persidangan konvensyen itu bagi memastikan pembangunan ekonomi orang Melayu terus terpelihara.


Beliau berkata, dasar kesamarataan yang dilaung-laungkan kerajaan amat membimbangkan kerana khuatir keistimewaan orang Melayu hilang begitu sahaja.


“Perkasa mendesak supaya agenda Bumiputera dijadikan sebagai dasar induk kerajaan, terutama dalam soal ekonomi orang Melayu.


“Misalnya dalam pembentangan Bajet 2018 lalu, kita akan mengkaji dan mengupas secara menyeluruh  sejauh mana ia mampu melonjakkan penguasaan Bumiputera. Sedangkan kaum lain juga diberi keistimewaan yang hampir sama dengan Bumiputera.


“Oleh itu, sempena konvensyen Perkasa ini, kita akan adakan forum mengenai Bajet 2018  bagi mendapatkan pandangan dan lontaran idea terhadap bajet tersebut,” katanya pada Jamuan Mesra Pra AGM Perkasa Negeri Sembilan di Hotel Sutera di sini, kelmarin.


Turut serta Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan, Khaidir Jamal.


Sementara itu, Khaidir mencadangkan agar peningkatan kos sara hidup, harga rumah meningkat dan kenaikan harga minyak petrol dapat dibentangkan pada AGM Perkasa nanti.


Menurutnya, pihaknya selalu menerima rungutan daripada orang kampung yang mengeluh terhadap kenaikan harga barang dan petrol.


“Macam mana orang Melayu terutama masyarakat kampung tak mengeluh, barang semuanya naik. Kerajaan perlu lakukan sesuatu dengan mengambil kira kesan jangka panjang dalam usaha membantu rakyatnya secara menyeluruh,” katanya.


Beliau berkata, pemberian BR1M hanya untuk seketika sahaja dan bukan dapat menyelesaikan masalah itu secara berterusan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]