Ibu tunggal curi barang rumah sewa didakwa

in Semasa by


KUALA TERENGGANU – Seorang ibu tunggal didakwa mencuri barangan dan perabot rumah yang disewanya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini.


Bagaimanapun, tertuduh, Aizam Abd Aziz, 44, dari Kuala Terengganu, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan lima unit penyaman udara, dua buah katil dan tilam, seunit mesin basuh, seunit peti sejuk, satu set meja makan, satu unit kabinet televisyen, sebuah televisyen 29 inci, sebuah sofa L-Shape, dua set meja tepi, satu set seterika dan papan penggosok, seunit tong gas, 13 unit bantal dan pelbagai jenis peralatan dapur milik Sharifah Salwa Syed Shafie, 43.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu pada 30 September lalu, kira-kira jam 11 pagi, di rumah yang disewanya di Taman Semarak Bukit Tunggal, Kuala Nerus.


Dengan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat serta dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.


Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, Abdul Hayyi menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk lantikan peguam dan serahan dokumen, selain membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,500.


Sebelum ini, akhbar ada menyiarkan seorang pemilik butik terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000 apabila pelbagai barangan elektrik di rumahnya di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, dilarikan penyewanya.


Susulan itu, seorang janda anak satu bersama seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai teman lelakinya ditahan, dan siasatan mendapati wanita terbabit merupakan antara individu dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam jenayah curi dalam bangunan dan menipu membabitkan beberapa kontinjen negeri lain.


Modus operandi digunakan wanita itu dengan menyewa rumah yang lengkap dengan perabot daripada mangsa selama beberapa bulan, sebelum menghilangkan diri bersama kelengkapan rumah berkenaan.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]