Isyarat rakyat mahukan perubahan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Pengumuman Bajet 2018 yang disifatkan kurang mendapat sambutan hangat dianggap isyarat dan petanda perubahan bakal berlaku dalam negara pada PRU14.


Pengarah Komunikasi Amanah Terengganu, Mohd Zubir Mohamed berkata, suasana itu dapat dilihat sebelum dan selepas pengumuman bajet dibuat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas.


Menurutnya, keadaan itu tidak sebagaimana sebelumnya dan suasananya berbeza dengan pembentangan bajet pada tahun-tahun sebelum ini yang sentiasa dinanti-nantikan rakyat.


“Ini menunjukkan ada petunjuk baharu rakyat mahukan perubahan dan seolah-olah rakyat menunggu pilihan raya untuk tentukan perubahan masa depan negara,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Mohd Zubir berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan bajet luar biasa yang diumumkan, ia memperlihatkan bahawa kerajaan tidak realistik apatah lagi perbelanjaan negara melebihi daripada pendapatan.


Sehubungan itu, beliau tidak menolak pembentangan bajet itu tidak lain hanyalah Bajet PRU apatah lagi ia tidak mampu meyakinkan rakyat dalam menilai keadaan termasuk ahli ekonomi sendiri.


“Rakyat perlukan perubahan untuk membentuk Malaysia baharu, harapan baharu politik baharu dengan kerajaan berkebajikan, urus tadbir yang baik,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]