Kastam Terengganu menjadi negeri pertama capai sasaran

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya membuat kutipan hasil cukai sebanyak RM750 juta sehingga hari ini, berbanding sasaran hasil kutipan awal ditetapkan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bernilai RM565 juta bagi 2017.


Pengarahnya, Aidid Tajuddin berkata, JKDM Terengganu juga turut mendahului negeri lain dan menjadi negeri pertama berjaya mencapai sasaran tersebut empat bulan lebih awal, iaitu pada 6 Ogos lalu.


Menurutnya, penguatkuasaan melalui pendidikan termasuk pemahaman mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilihat sebagai salah satu faktor terhadap kejayaan pungutan cukai tersebut di samping pematuhan tinggi terhadap tanggungjawab membayar cukai.


“Kejayaan ini dicapai adalah susulan daripada kadar pematuhan yang tinggi daripada pihak pembayar cukai. Jadi, kita hendak perkukuhkan lagi kadar pematuhan mereka melalui pendidikan.


“Setakat ini, kita belum lagi menghukum contohnya apabila berlaku kesalahan-kesalahan ringan seperti silap ikrar, ‘typo’ dan rekod yang tersilap hantar, sepatutnya kita sudah boleh menghukum tetapi kita memberi peluang selama satu bulan untuk dia memperbetulkan semula penyata-penyata cukai,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Program Duta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Pelancongan (TTx) di JKDM Terengganu, di sini, hari ini.


Beliau berkata, berikutan pencapaian luar biasa yang dicapai pihaknya terhadap hasil kutipan sebanyak RM565 juta itu, JKDM Terengganu telah diberi tanggungjawab lebih besar apabila perlu menyasarkan sasaran baharu sebanyak RM780 juta.


Beliau yang turut positif terhadap perkara itu percaya, pertambahan hasil pungutan lebih kurang RM200 juta yang telah dinilai semula oleh JKDM itu mengambil kira perkembangan ekonomi semasa, secara tidak langsung menggambarkan ekonomi Terengganu dalam keadaan baik.


“Sasaran ini bukan sesuatu yang dibuat secara suka-suka. Kita selalu selaraskan dengan laporan-laporan ekonomi tentang perkembangan ekonomi Malaysia, statistik tentang prestasi import, prestasi eksport dan pendapatan negara. Jadi, kita menyelaras perkembangan ekonomi ini dengan meletakkan sasaran baharu.


“Kalau ekonomi rancak, kita perlu meningkatkan lagi sasaran kerana kita menjangka aktiviti ekonomi akan menjana lebih hasil, jadi apabila Kastam meletakkan sasaran yang lebih tinggi itu bermakna ekonomi Terengganu berada di tempat yang terbaik yang berpotensi untuk mendapatkan hasil,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]