Pekerja Air Koryo bantu suspek keluar Malaysia

in Semasa by


SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini  hari ini diberitahu bahawa pekerja syarikat penerbangan Air Koryo dikenali sebagai Kim Uk-il telah membantu tiga  suspek lelaki yang masih bebas dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, untuk keluar dari Malaysia.


Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA Asisten Superintendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata Kim Uk-il membantu Hong Song Hac yang dikenali sebagai Mr Chang,  Ri Ji Hyon yang dikenali sebagai Mr Y dan Ri Jae Nam dikenali sebagai Hanamori untuk mendaftar masuk ke dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) untuk penerbangan ke Jakarta pada 13 Februari, 2017.


Menjawab soalan peguam Gooi Soon Seng, saksi kesembilan pihak pendakwaan itu bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Kim Uk-il mengetahui nama pesawat yang dinaiki ketiga-tiga suspek itu.


Semalam Wan Azirul Nizam dalam keterangannya berkata pengurus Syarikat Penerbangan Air Koryo dan  wakil Kedutaan Korea Utara  telah membantu ketiga-tiga suspek itu keluar dari Malaysia untuk menaiki penerbangan ke Jakarta, selepas kejadian Kim Chol diserang dengan racun agen saraf VX.


Semasa pemeriksaan balas oleh peguam itu, Wan Azirul Nizam mengakui beliau tidak dapat mengingati nama pesawat  yang dinaiki oleh ketiga-tiga suspek itu kerana ia tidak dicatatkan dalam diari siasatannya.


Gooi: Kalau tahu nama pesawat itu, kamu boleh tahu nama manifest penumpang?


Wan Azirul Nizam: Benar


Gooi : Kenapa tidak periksa melalui pesawat tentang identiti tiga suspek ini yang tinggalkan Kuala Lumpur?


Wan Azirul Nizam : Di peringkat awal siasatan saya tidak dapat mengetahui sebarang maklumat mengenai suspek itu dan juga siapa penama Kim Uk-il  itu. Jadi sukar untuk saya mendapatkan manifest penumpang pesawat kerana melibatkan ratusan nama penumpang-penumpang lain.


Saksi itu juga mengakui beliau ada menerima salinan cetakan manifest penumpang pesawat yang dinaiki oleh tiga suspek itu bagaimanapun sehingga hari ini beliau tidak dapat mengingati nama pesawat tersebut.


Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa adalah penting untuk mengingati nama pesawat tersebut kerana manifest penumpang boleh diperolehi daripada pesawat itu.


Terdahulu, sebanyak sembilan spesimen milik mendiang Kim Chol yang disimpan di dalam sebuah kotak polisterin tidak dibuka dalam perbicaraan itu berikutan bau yang tidak menyenangkan.


Wan Azirul Nizam berkata spesimen-spesimen tersebut adalah darah, air kencing, Vitreous Humor, kandungan perut, hempedu, paru-paru, buah pinggang, hati dan otak.


Sambil mengangkat dan menunjukkan kotak polisterin berwarna putih itu, beliau berkata kandungan spesimen itu adalah milik si mati dan berbau kuat.


“Saya menerima spesimen ini daripada Dr P. Sharmilah dari Jabatan Kimia selepas ia dianalisis,” katanya ketika  pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada hari ke-13 perbicaraan kes Siti Aisyah, 25, dan  Doan Thi Huong , 28, didakwa  bersama-sama empat lelaki yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan klia2 pada 9 pagi, 13 Februari lalu.


Dalam prosiding itu, sebanyak 117 barang kes dicamkan sebagai eksibit termasuk barang peribadi milik kedua-dua tertuduh, oleh pegawai penyiasat itu.


Saksi  itu berkata, beliau juga menerima barang milik Siti Aisyah, iaitu pasport, pakaian, kasut, beg, telefon bimbit dan barangan peribadi dan tiga keping wang tunai ASD100 (RM1,268.10), manakala bagi Doan pula, sepasang kasut warna putih, dua telefon bimibit dan sebuah beg.


“Manakala, barang yang diambil dari si mati Kim Chol adalah dua telefon bimbit dan komputer riba miliknya. Saya menerima barang ini daripada Sarjan Shamsul dari Balai Polis Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2),” katanya.


Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gooi,  Wan Azirul Nizam berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Siti Aisyah dilihat tidak menukar penampilannya selepas kejadian serangan itu berlaku.


Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa keempat-empat suspek yang masih bebas itu menukar penampilan mereka selepas insiden Kim Chol diserang, namun tidak bersetuju mereka melupuskan barang peribadi masing-masing.


“Yang pastinya ialah keempat-empat suspek menukar pakaian,” katanya sambil menambah tiada sebarang perubahan dalam penampilan Siti Aisyah sebelum dan selepas insiden serangan itu.


Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]