Pertandingan lumba basikal kutip derma sekolah tahfiz

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Bagi membantu Darul Tahfiz Ummul Qurro meneruskan operasinya tanpa kekangan kewangan, pihak Kelab Sukan dan Rekreasi (SRCC) Parlimen Kota Raja, Kelab Berbasikal Kota Raja (KRCC) dan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Raja mengadakan pertandingan lumba basikal cabaran Bukit Thagumaley di sini baru-baru ini.


Menurut Pengerusi SRCC Parlimen Kota Raja, Mohamad Kusyhairi Abdul Aziz, segala sumbangan dari yuran penyertaan dan sumbangan peribadi dalam kalangan peserta pertandingan dan orang ramai disumbang terus kepada pusat tahfiz tersebut.


“Sebagai umat Islam kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu satu sama lain terutama pusat pendidikan yang menyiapkan tenaga pengajar kitab suci Al-Quranul Karim pada masa depan.


“Pada pertandingan ini seramai 200 orang pelumba basikal dari SRCC, KRCC, kelab-kelab luar dan peserta perseorangan menyertai cabaran berlumba di kawasan berbukit di sekitar kawasan ini,” katanya selepas majlis pelepasan peserta di sini semalam.


Hadir sama, mudir Darul Tahfiz Ummul Qurro, Abd Rasul Rahman dan ahli-ahli jawatankuasa KRCC, SRCC dan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian.


Mohamad Kusyhairi berkata, selain dari program untuk amal jariah sumbangan tersebut diharap mengurangkan beban pihak tahfiz tersebut untuk meneruskan kerja-kerja untuk mengembangkan syiar Islam dalam kalangan generasi muda.


“Program sebegini bukan sahaja membentuk generasi yang sihat tubuh badan malahan menggalakkan generasi muda untuk melakukan kerja-kerja kebajikan dengan menyumbang kepada warga pusat tahfiz terbabit menyediakan prasarana yang lebih sempurna,” katanya.


Katanya lagi, hasil sumbangan dari 137 peserta pertandingan lumba basikal tersebut sebanyak RM7,000 berjaya dikumpulkan.


Bagi mana-mana pihak yang berminat membantu pusat tahfiz tersebut, boleh menghubungi Abd Rasul di talian telefon 0351623857 dan 0133176280 atau menderma melalui akaun Maybank Darul Tahfiz Ummul Qurro, akaun nombor 562786013576.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]