Samun gelandangan: Tiga remaja ditahan

in Uncategorized by


SERI ISKANDAR – Tiga remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan selepas terbabit dalam kegiatan samun berkawan menyasarkan seorang lelaki dipercayai gelandangan di hadapan sebuah kedai dobi di sini, Sabtu lepas.


Kejadian sekitar jam 7 pagi itu berlaku melibatkan mangsa yang tidak bekerja dengan jumlah kerugian wang tunai lebih RM400.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, berdasarkan laporan, mangsa diperdaya seorang daripada suspek untuk pergi ke lokasi kejadian sebelum diminta menunjukkan wang.


Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan lurus bendul ada menunjukkan wangnya kepada orang awam dan dilihat oleh suspek.


“Suspek kemudiannya memanggil rakan yang lain dan bertindak ganas dengan menolak mangsa hingga terjatuh sebelum mengambil dompetnya. Perbuatan ketiga-tiga suspek yang baru selesai ujian PT3 itu dirakam CCTV premis berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, semua suspek ditahan di hadapan kedai makan pada jam 2.30 pagi, kelmarin.


“Mereka memberi alasan melakukan kegiatan itu untuk dapatkan wang bagi membeli dan membaiki telefon bimbit,” katanya.


Kesemua suspek direman hingga 9 November ini.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]