Suspek utama pergaduhan di Andalas ditahan

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Polis menahan suspek utama kes pergaduhan di Taman Sri Andalas Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek utama yang cuba melanggar beberapa individu ini menaiki kereta ini ditahan kira-kira jam 1.30 petang tadi.


“Penahanan suspek berusia lingkungan 20-an ini dibuat di tepi jalan di kawasan Bukit Tinggi, Klang.


“Kita telah merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai digunakan ketika kejadian tersebut,” katanya.


Dalam sidang media hari ini, polis telah mengenal pasti kira-kira 10 individu yang terbabit dalam kejadian berkenaan.


Polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut, video-video dan gambar berhubung kejadian itu yang tular di laman sosial.


Dalam kejadian berkenaan, seorang penduduk yang juga pegawai polis berusia 49 tahun telah melepaskan tembakan untuk menyuraikan keadaan.


Susulan itu, seramai empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam di sekitar taman dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkenaan sementara 10 yang lain melarikan diri.


Amar berkata, insiden pergaduhan itu menyebabkan beberapa orang penduduk taman mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala, tangan dan pinggang.


“Seorang wanita yang kebetulan berada di lokasi kejadian turut cedera dilanggar sebuah kereta yang dinaiki beberapa suspek ketika cuba melarikan diri,” katanya.


Siasatan awal polis mendapati, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.45 malam apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki seorang lelaki bersama teman wanitanya telah terbabas dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Kenari di kawasan taman.


Beberapa orang penduduk taman terbabit telah keluar dari rumah masing-masing untuk melihat kemalangan itu, pasangan kekasih itu kemudian menelefon beberapa orang rakannya kerana bimbang dengan keselamatan mereka.


Tambahnya, beliau turut mengingatkan orang ramai tidak memanipulasikan insiden tersebut dengan isu perkauman.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]