Teliti pengambilan pengasuh

in Edisi by


SEBERANG TAKIR – Pengambilan pengasuh di taska seluruh negara akan diteliti dengan sebaiknya supaya kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak dapat diatasi dengan sebaiknya.


Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia akan mempertingkatkan penguatkuasaan agar semua pengasuh memenuhi kriteria yang ditetapkan.


Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, penguatkuasaan secara serius itu bertujuan memastikan kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak dapat dikekang sepenuhnya.


“Meskipun kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak di negara ini masih terkawal, namun langkah pencegahan perlu diambil segera. Sebab itu kita sangat serius dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dalam pengambilan pengasuh.


“Malah, langkah yang kita laksanakan ini juga dapat memastikan kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak berada pada tahap sifar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Latihan Kemahiran B40 Kursus Asuhan dan Pendidikan Awal Kanakkanak Permata di Quinara Al Safir, di sini.


Hadir sama, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail.


Ismail berkata, pengusaha atau pemilik taska juga diingatkan agar sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.


“Sebelum ambil pekerja, pengusaha taska perlu memastikan individu sihat mental dan fizikal, tidak mempunyai masalah dan sebagainya.


Ini bagi memastikan insiden pengasuh mendera atau mengabaikan kanak-kanak di taska tidak berulang seperti mana beberapa kes dilaporkan sebelum ini.


“Malah, kerajaan melalui kementerian berkaitan sentiasa berusaha untuk mewujudkan pelbagai kursus dan garis panduan bagi memastikan semua taska berada pada tahap memuaskan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]