2018: MPI fokus kendali kursus kewartawanan digital

in Nasional by


CYBERJAYA – Malaysian Press Institute (MPI) akan memberi tumpuan untuk mengendalikan lebih banyak kursus kewartawanan digital terutamanya bagi pengamal media muda  tahun depan di premis baharunya di sini dalam merealisasikan visi  menjadi pusat latihan kewartawanan terulung negara.


Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya berkata premis baharu yang dibeli MPI itu akan menjalani proses ubah suai untuk menempatkan peralatan moden khusus bagi latihan kewartawanan digital dan dijangka beroperasi sepenuhnya awal tahun depan.


“Kursus kewartawanan digital adalah penting kerana masa depan bidang kewartawanan di alam maya. Asas kewartawanan tidak berubah iaitu mengumpul maklumat dan mencari fakta yang tepat namun platformnya sudah beralih,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan kunci pejabat MPI di sini hari ini.


Chamil menyifatkan dua unit premis pejabat yang dimiliki sendiri oleh MPI itu akan memberi momentum baharu kepada MPI yang kini sudah menjangkau usia 52 tahun memandangkan pembelian premis berkenaan dilakukan tanpa sebarang pinjaman dan bebas daripada ansuran bulanan.


“Kini tumpuan boleh diberikan sepenuhnya untuk membangunkan MPI menjadi sebuah pusat latihan kewartawanan yang ulung untuk para pengamal media  negara  tanpa risau diminta keluar oleh pemilik kalau bangunan itu MPI sewa,” katanya lagi.


Premis baharu MPI terletak di Radius Business Park, Cyberjaya dengan harga pasaran bagi kedua-dua unit RM1.8 juta. Bagaimanapun,  pemaju projek  berkenaan Emkay Group memberi diskaun 17 peratus kepada MPI menjadikan harganya RM1.5 juta.


Pada majlis hari ini, Pengarah Eksekutif Emkay Group Datuk Fazwinna Mustapha Kamal menyerahkan kunci kedua-dua unit premis pejabat berkenaan kepada Chamil. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]