Bantu balu teruskan kehidupan

in Edisi by


KUALA LIPIS – Seorang ibu tunggal di Kampung Kuala Medang di sini tidak menyangka layak menerima wang faedah pengurusan mayat (FPM) dan pencen penakat selepas pemergian suaminya akibat tertimbus tanah 20 September lalu.


Hamidah Mat Rifin, 54, balu kepada Allahyarham Md Isa Sulaiman, 55, terharu apabila menerima cek FPM berjumlah RM2,000 selain layak menerima pencen penakat seumur hidup daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).


Hamidah berkata, wang FPM yang diterimanya akan digunakan bagi menggantikan kos perbelanjaan yang telah digunakan bagi menguruskan jenazah suaminya.


Menurutnya, pencen penakat yang dibayar oleh Perkeso setiap bulan pula akan digunakan untuk perbelanjaan membeli barangan keperluan harian.


“Arwah suami tak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum meninggal dunia malah kelihatan sihat dan ceria.


“Bila dimaklumkan arwah maut tertimbus masa korek tanah…makcik terkejut dan macam tak percaya. Walaupun sedih dengan pemergian arwah tapi makcik reda dengan ketentuan ALLAH SWT,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan pihak Perkeso Bentong di sini, kelmarin.


Dalam kunjungan tersebut Hamidah menerima cek FPM daripada Pengurus Perkeso Bentong, Roziah Abd Wahid. Hadir sama Pegawai Penyiasat Kes Perkeso Bentong, Andi Momang Mohamad.


Dalam kejadian 20 September lalu, arwah Md Isa maut akibat tertimbus di dalam tanah ketika melakukan kerja menggali lubang berkedalaman lapan meter di Kampung Kuala Medang.


Dalam kejadian kira-kira​ jam 4.10 petang itu, arwah Md Isa dikatakan menggali lubang tanah miliknya bersama seorang rakan dengan menggunakan excavator.


Kejadian dipercayai berlaku apabila Md Isa telah turun ke dalam lubang sedalam lapan meter dengan menggunakan bucket excavator namun ketika arwah berada pada kedalaman enam meter, secara tiba-tiba tanah selebar 0.8 meter telah runtuh dan memasuki lubang  tempat arwah berada lalu menghempapnya.


Rakan arwah kemudiannya bertindak mengangkat bucket excavator terbabit namun mendapati Md Isa tiada di dalam bucket berkenaan dan percaya arwah telah tertimbus ke dalam tanah.


Rakan terbabit bertindak mendapatkan bantuan anak arwah dan menggali tanah berkenaan sebelum berjaya menemuinya namun arwah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Felda Sungai Koyan.


Sementara itu, Roziah berkata, selain bayaran FPM bernilai RM2,000, Hamidah juga layak menerima pencen penakat memandangkan arwah Md Isa merupakan pencarum Perkeso.


“Bayaran pencen penakat seumur hidup ini diharap dapat meringankan beban kewangan balu agar dapat meneruskan kehidupan selepas ini,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]