Bekalan elektrik Pulau Pinang hampir pulih

in Nasional by


BUTTERWORTH-  Bekalan elektrik yang terputus akibat banjir di Pulau Pinang dilaporkan hampir pulih sepenuhya, hari ini.


Pengurus Besar Kanan (Distribution Network) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood.berkata, sehingga jam 3 petang tadi, sebanyak  105 daripada 113 pencawang elektrik (PE) yang dihenti tugas sejak negeri tersebut dilanda banjir berjaya dipulihkan.


“Daripada jumlah tersebut, 78 PE berjaya dipulihkan melalui grid, sementara 27 PE lagi menggunakan set janakuasa bergerak (genset),” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Banjir besar yang berlaku di Pulau Pinang telah mengakibatkan negeri itu lumpuh serta-merta.


Selain kehilangan bekalan elektrik, beberapa lokasi turut dilaporkan ditenggelami air dan mengalami tanah runtuh.


Bencana itu juga menyebabkan rakyat Pulau Pinang di kawasan tertentu terpaksa berpindah berikutan kediaman masing-masing ditenggelami air.


Menurut beliau lagi, dengan perkembangan itu, tinggal lapan PE sahaja yang masih dihenti tugas iaitu di Seberang Perai.


“Dalam pada itu, kerja-kerja memulihkan bekalan masih giat diteruskan, bagi mengembalikan bekalan elektrik secepat mungkin,” katanya lagi.


Pengguna di Pulau Pinang dinasihatkan untuk merujuk kepada Facebook TNB Careline atau menghubungi talian TNB Careline 15454 bagi mendapatkan maklumat terkini bekalan elektrik.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]