Bukan banjir tapi hanya air pasang

in Edisi Johor by


PONTIAN – Limpahan air yang berlaku sejak Isnin lalu merupakan fenomena biasa yang akan berlaku di Pekan Kukup setiap kali tibanya musim air pasang besar pada penghujung tahun.


Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Permas C bagi kawasan Kampung Air Masin dan Kukup Laut, Loh Soh En berkata penduduk sudah biasa dengan fenomena tersebut yang dialami setiap tahun.


Katanya, limpahan air tidak boleh disamakan dengan banjir kerana limpahan air di Pekan Kukup berada dalam paras yang tidak merbahaya dan akan surut semula.


“Saya kesal dengan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar mendakwa Pekan Kukup banjir.


“Tindakan mereka itu telah memberi kesan kepada pemilik rumah tumpangan dan chalet yang banyak terdapat di Air Masin dan Kukup Laut,” katanya.


Jelasnya, sebaik sahaja gambar Pekan Kukup didakwa banjir tersebar di media sosial sejak petang semalam, pemilik rumah tumpangan dan chalet di Kukup Laut dan Air Masin dihujani dengan pelbagai soalan daripada pelancong yang telah membuat tempahan.


“Saya juga terkejut bila gambar yang disebarkan itu menyatakan Kukup banjir. Difahamkan gambar itu juga telah tersebar sehingga ke Singapura.


“Ramai pelancong Singapura yang berkunjung ke Air Masin dan Kukup. Jadi mereka bimbang dan menghubungi pemilik chalet untuk mengetahui keadaan sebenarnya.


“Selepas diterangkan dengan keadaan situasi sebenar di sini, mereka tidak lagi bimbang,” katanya.


Tambahnya, majoriti penduduk telah mengetahui tentang kejadian air pasang besar yang bakal berlaku dan mereka telah melakukan persediaan.


“Bukan perkara yang pelik, sebab penduduk sudah biasa berdepan dengan fenomena air pasang besar yang menyebabkan berlaku limpahan air di Kukup.


“Bagaimanapun, penduduk tetap berjaga-jaga dan berhati-hati ketika musim air pasang besar,” katanya.


Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke Pekan Kukup tengahari tadi, mendapati tiada kejadian limpahan air yang berlaku seperti semalam.


Limpahan air pada paras 0.3 meter di Pekan Kukup semalam dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 1 tengahari dan surut semula kira-kira jam 3 petang.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]