Gembira terima rumah baharu

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal akhirnya berpeluang menikmati kehidupan lebih selesa apabila menerima rumah baharu di Kampung Baru Sri Aman, di sini.


Fatimah Hassan, 64, menerima bantuan Rumah Ihsan Johor ke-16 yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Ihsan Johor.


Menurutnya, sejak beberapa bulan lalu, dia bersama anak bongsunya berusia 19 tahun tidak mempunyai kediaman tetap dan mengakui kehidupannya mula berdepan tekanan selepas suaminya meninggal dunia pada 2006.


“Selama ini kami tinggal di sebuah warung di Jalan Kempas Lama sejak 1978. Kami mengusahakan gerai makan secara kecil-kecilan, namun tidak berniaga lagi selepas suami meninggal dunia.


“Kemudian saya ada menerima notis meminta untuk meninggalkan premis yang kami diami oleh pihak berkuasa. Dan pada penghujung Ramadan lalu, premis kami juga dipecah masuk pencuri. Sejak itu, saya tidak mempunyai tempat berteduh tetap. Ada kala saya akan menumpang di rumah anak sulung dan ada kalanya di rumah saudara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan kunci Rumah Ihsan Johor di Kampung Baru Sri Aman, di sini kelmarin.


Hadir menyempurnakan penyampaian kunci Rumah Ihsan Johor adalah Ketua Kampung Baru Sri Aman, Mohamad Sardini selaku wakil Adun Tiram, Datuk Maulizan Bujang.


Fatimah berkata, dia bersyukur dan gembira apabila Pertubuhan Ihsan Johor tampil menghulurkan bantuan menyediakan kediaman yang lebih selesa kepadanya.


“Alhamdulillah, macam mimpi. Saya tak percaya saya berdiri di hadapan rumah sendiri. Terima kasih kepada sukarelawan Pertubuhan Ihsan Johor yang bertungkus-lumus menyiapkan kediaman ini,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Pengurusan Ihsan Johor, Azhar Zainal Abidin berkata, pembinaan kediaman itu mengambil masa tiga hari dua malam, dengan kos kira-kira RM50,000.


Katanya, ia dibina oleh kira-kira 20 sukarelawan.


“Rumah ini mempunyai dua bilik dan satu bilik air.


“Projek pembinaan Rumah Ihsan Johor ini bertujuan mengangkat semangat kesukarelawan selain membantu memberi kehidupan selesa kepada mereka yang memerlukan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]