Isu pekerja asing: Nurul Izzah tunggu jawapan menteri

in Nasional by


SHAH ALAM – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak menteri yang bertanggungjawab soal kemasukan buruh asing memberikan jawapan berkenaan tiga syarikat perantara pengurusan pekerja asing negara ini.


Beliau berkata demikian ketika membangkitkan status tiga syarikat Iman Sdn. Bhd., MyEG Sdn. Bhd. dan Bukit Megah Sdn. Bhd yang bertanggungjawab mengurus tadbir kemasukan buruh asing di negara ini.


Menurut Nurul Izzah, ia amat penting kerana ramai melihat lambakan buruh asing yang melibatkan tiga syarikat ini telah memberi implikasi besar pada buruh tempatan.


“Apakah akan berlaku kepada ketiga syarikat ini apabila urusan pentadbiran dan pengurusan buruh asing diletakkan di bawah Pusat Kelulusan Setempat (OSC), di bawah penyelarasan Kementerian Dalam Negeri (KDN)?


“Dengan adanya OSC yang diamanahkan untuk mengendalikan urusan penentuan bilangan pekerja asing berlandaskan sektor, kelulusan permohonan dan pemantauan pekerja asing, sudah pasti berbangkitkan persoalan lain, iaitu apa pula peranan tiga syarikat berkenaan?” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kadar kemasukan pekerja asing; yang mana dikatakan boleh akan melambatkan pertumbuhan negara ke arah berteknologi tinggi dan berdaya saing.


“Saya risau, kemasukan pekerja asing¬† yang meningkat 15.1 peratus pada tahun 2015, berbanding 14.1 peratus pada 2010. Lebih membimbangkan, apabila persoalan berkenaan tiga syarikat ini ada kaitan dengan menteri kita tidak diberikan jawapan sehingga sekarang.


“Dengan ini, saya mendesak menteri berkenaan agar tampil memberikan penjelasan yang benar dan berintegriti. Saya kira, ini soal masa depan buruh tempatan. Jangan kerana keuntungan peribadi, sehingga buruh tempatan diabaikan,” katanya lagi.




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]