Izani buang daging lebih hari ini

in Edisi by


MACHANG – Pelajar lepasan diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Izani Mat Jais, 24 dari kampung Desa Takwa, dekat Paloh Rawa dekat sini akan menjalani pembedahan membuang lebihan daging di kakinya di Hospital Universiti Sains Malaysia, hari ini.


Izani berkata, lebihan daging di kedua-dua kakinya akan dibuat pada pembedahan itu.


Katanya, pembedahan yang dikenali sebagai charles procedure itu akan memakan masa lebih 10 jam bergantung kepada keadaan kakinya.


Tambahnya, dia menyimpan harapan tinggi agar pembedahan tersebut berjaya seterusnya membantunya meneruskan kehidupan seperti biasa.


“Alhamdulillah, kos pembedahan ditanggung sepenuhnya pihak hospital dan saya berharap orang ramai turut mendoakan agar ia berjaya dan saya kembali sihat.


“Saya ingin meneruskan pengajian ke peringkat ijazah yang tertangguh sejak dua tahun lalu akibat penyakit bengkak kaki ini dan membantu keluarga terutama selepas kehilangan ayah yang menjadi tempat kami bergantung, baru-baru ini,” katanya.


Julai lalu, Sinar Harian menyiarkan kesusahan hidup Muhammad Izani yang terpaksa melupakan hasratnya menyambung pengajian ke peringkat ijazah apabila menderita penyakit bengkak kaki atau kaki membesar sejak 10 tahun lalu.


Muhammad Izani mengalami kesukaran bergerak sejak menghidap penyakit tersebut kerana kakinya dari paras lutut hingga ke bahagian bawah kian membesar.


Katanya, kakinya membesar dengan cepat sejak tiga tahun kebelakangan ini hingga memaksa dia melupakan hasrat menyambung pengajiannya.


Tambahnya, selepas menamatkan diploma pada 2014, dia bercadang menyambung pengajian namun malangnya keadaan penyakitnya bertambah teruk sekali gus mengehadkan pergerakannya.


“Semasa menyambung pengajian di peringkat diploma, saya masih mampu berjalan dan memakai seluar seperti biasa namun penyakit ini bertambah teruk dan kaki membesar dengan cepat.


“Adakala keluar cairan dari kaki yang sakit ini namun bengkak tidak berkurangan,” katanya kelmarin.


Tambahnya, dia juga mudah letih dan demam sekiranya berdiri terlalu lama atau berjalan sekali gus memaksanya menghabiskan masanya di rumah.


Katanya, selain kaki kiri, kaki kanannya juga semakin membesar hingga berat badannya kini mencecah 170 kilogram.


Dalam masa sama, pelbagai pihak tampil membantu meringankan kesusahan Izani termasuk penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) melancarkan Tabung Izani sempena Program Bakti Siswa UUM di Paloh Rawa, dekat sini.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]