Lelaki kurung diri 2 jam dalam tandas masjid

in Edisi Selangor KL by


SEKINCHAN – Seorang lelaki mengurung diri kira-kira dua jam dalam tandas sebuah masjid di Sekinchan, di sini malam kelmarin.


Dalam kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun itu dipercayai mengalami tekanan perasaan.


Siak bertugas, Abu Hassan Zakaria, 76, berkata, dia perasan seorang wanita dipercayai isteri mangsa seperti sedang menunggu seseorang di luar masjid selepas menunaikan solat Isyak sebelum wanita itu memberitahu suaminya berada di dalam tandas.


“Usaha memujuk lelaki ini keluar termasuk memanggil ahli keluarganya menemui jalan buntu sebelum mendapatkan bantuan bomba,” katanya.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Omar Ali Saifuddin Enton berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada orang ramai pada jam 9.29 malam.


“Sebaik menerima panggilan, sebuah jentera LFRL dan sebuah jentera EMRS dengan kekuatan 10 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya mengambil masa hampir sejam menjalankan usaha memujuk dan menyelamatkan lelaki berkenaan.


“Peringkat awal, pihak kami cuba memujuk lelaki ini, tetapi tidak membuahkan hasil.


“Anggota bomba terpaksa memanjat bahagian siling tandas sebelum masuk ke dalam tandas lalu membuka kunci dari dalam tempat di mana lelaki itu mengurung dirinya.


“Lelaki ini berjaya dikeluarkan dengan selamat selepas anggota bomba berjaya masuk ke dalam tandas melalui siling sebelum membuka pintu tandas dari dalam,” katanya.


Beliau memberitahu, usaha pasukan bomba membawa  lelaki berkenaan keluar dari tandas berkenaan tidak mengalami kesukaran kerana lelaki terbabit tidak bertindak agresif.


“Lelaki ini kemudiannya ditenangkan anggota bomba di dalam jentera EMRS sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]