LKIM Perak simpan satu tan metrik ikan segar beku

in Edisi by


LUMUT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri Perak telah menyimpan  lebih satu tan metrik ikan segar beku Q’fish sebagai persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan  kesan daripada cuaca tidak menentu ketika ini.


Pengarah LKIM Perak, Zarina Abd Latiff berkata bagaimanapun buat masa ini, pihaknya menjangkakan bekalan ikan segar adalah mencukupi.


“Buat masa sekarang kita di tahap sentiasa bersedia dan orang ramai tidak perlu risau kerana bekalan ikan dijangka mencukupi jika keadaan cuaca menyebabkan bekalan ikan berkurangan kelak,” katanya  ketika berucap pada majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) LKIM di sini, hari ini.


Q’Fish merupakan satu penjenamaan semula menggantikan Program Ikan Rakyat LKIM yang mula diperkenalkan pada tahun 2013.


Mengenai program hari ini, Zarina mengingatkan kakitangan LKIM agar bersikap amanah dan telus dalam menyempurnakan tugasan harian selain tidak terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah.


“LKIM selaku peneraju pembangunan nelayan turut memikul tanggungjawab besar dalam memperbaiki kedudukan sosioekonomi dengan penumpuan kepada pendapatan nelayan serta memperkembangkan perusahaan perikanan negara.


“Kesemua insentif kepada nelayan pastinya perlu melalui prosedur dan syarat sendiri bagi memastikan ia dibelanjakan dengan telus dan bertanggungjawab serta dikuatkuasakan,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Perak Datuk Zainul Darus berkata langkah LKIM menandatangani IBR merupakan satu usaha murni bagi mengekang gejala tidak baik seperti penyelewengan kuasa dan rasuah dalam agensi tersebut.


Beliau berkata isu rasuah bukan sahaja diletakkan di bahu SPRM, malah perlu diambil berat setiap individu dan agensi kerana kesannya akan membelenggu negara jika tidak dapat dikawal.


“Kita minta setiap individu yang lafaz (IBR) akan melaksanakan, bukan lafaz dan buat kesalahan yang sama selain berazam untuk tidak terlibat dalam hal-hal salah guna kuasa dan penyelewengan.


“Sehingga kini, sebanyak 126 agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta di Perak telah menandatangani IBR sejak ia dilancarkan Ogos lepas dan ini menunjukkan satu tanda aras yang bagus,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]